Nasrudin Hasan
Nasrudin Hasan

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memberi insentif raya kepada lebih 110,000 peneroka Felda minggu ini.

Desakan itu dibuat berikutan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali beberapa hari lalu yang memberi gambaran tiada insentif raya sepertimana pernah diberikan pada tahun lepas sebanyak RM450.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas menghargai komitmen kerajaan untuk melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dianggarkan berjumlah RM6 bilion.

Bagaimanapun, kata beliau, kebajikan peneroka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan perlu dipertimbangkan.

“Mereka sedang dibelenggu dengan pelbagai tekanan kos sara hidup yang tinggi. Tambahan pula, harga komoditi yang tidak stabil mutakhir ini lebih menyukarkan kehidupan mereka.

“Oleh sebab itu, Pas mendesak pihak kementerian untuk mempertimbangkan pemberian insentif raya sekurang-kurangnya sama seperti tahun lalu bagi membantu para peneroka yang sedang dalam kesusahan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Nasrudin berharap pemberian itu juga tidak akan mengganggu pelan pemulihan yang sedang dijalankan oleh Felda. – MalaysiaGazette