KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) yang diterajui oleh pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif sejak enam bulan lalu berkata, sebarang keputusan berhubung kedudukan jawatan itu perlu melalui lembaga pengarah dan pemegang kepentingan utamanya.
“Di TM, proses itu membabitkan lembaga pengarah tadbir urus dan proses oleh pemegang kepentingan seperti Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional Berhad.
“Sebarang pengumuman rasmi berhubung kedudukan CEO akan dibuat pada masanya,” katanya kepada theedgemarkets.com.
Syarikat itu tidak bercakap dengan media selepas mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada hari ini.
Pada November tahun lalu, TM melantik Imri Mokhtar sebagai pemangku CEO selepas peletakan jawatan Datuk Bazlan Osman.
Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, TM berkata, sebanyak 13 daripada 14 resolusi mendapat kelulusan daripada para pemegang sahamnya.
Pengerusi TM, Rosli Man berkata, tahun 2018 adalah tahun yang luar biasa buat TM apabila berdepan pelbagai cabaran.
Imri pula berkata, TM akan meneruskan fasa transformasi yang seterusnya, dipandu oleh Program Peningkatan Prestasi (PIP) yang dipertingkatkan bagi membawa syarikat itu ke peringkat pertumbuhan seterusnya dari tahun 2019 hingga 2021.
Menurutnya, TM akan terus memperbaiki pelaksanaan dan operasi dan mempermudahkan cara bekerja dan fokus kepada tiga aspek iaitu pelanggan, perniagaan dan modal insan.
Beliau yakin barisan kepimpinan baharu dan inisiatif-inisiatif jangka panjang akan memacu perancangan konvergens dan digital TM, sekali gus merealisasikan agenda nasional bagi menghubungkan dan mempertingkatkan kehidupan rakyat Malaysia, merealisasikan gaya hidup digital mereka, menepati peranan kami sebagai penggerak aspirasi Negara Digital Malaysia. – MalaysiaGazette