Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Waktu Bekerja Fleksi (WBF) secara percubaan akan dilaksanakan di semua kolej Vokasional bermula sesi pengajian Semester Julai 2019.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata, langkah berkenaan bertujuan untuk melihat keberkesanan WBF di peringkat kolej dan pada masa yang sama memastikan jam pertemuan bersama pelajar-pelajar tidak terjejas.

“Projek percubaan Waktu Bekerja Fleksi ini akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, di bawah pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) pada tahun 2012, sesi pengajian bagi semua Kolej Vokasional, KPM telah ditetapkan pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

Perkara ini adalah bagi memenuhi jam pertemuan yang selaras dengan keperluan Malaysian Qualifications Agency (MQA) dalam penawaran Diploma Vokasional Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sehubungan itu juga, waktu bekerja bagi pensyarah-pensyarah juga telah ditetapkan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Tetapi, setelah tujuh tahun pelaksanaan TPV, dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, terutama para pensyarah Kolej Vokasional, KPM memutuskan untuk mengguna pakai waktu Bekerja Fleksi berkenaan untuk tempoh percubaan.

KPM berharap pelaksanaan WBF akan meningkatkan semangat produktiviti tenaga pengajar Kolej Vokasional.

Ia juga selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu meningkatkan kualiti pendidikan vokasional, sekali gus memartabatkan sistem pendidikan negara dan menjaga kebajikan para pensyarah,” kata kenyataan itu lagi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast