KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., sebuah syarikat hartanah dan produksi perfileman buat julung kalinya menganjurkan program tanggungjawab sosial (CSR) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Uniknya dalam program penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2019 itu, kesemua 120 pesakit di wad 23,34 dan 27 di hospital berkenaan menerima duit raya dan hamper tanpa mengira agama dan kaum.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, semangat itu diambil bagi mencontohi layanan sama rata pihak HKL kepada semua pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.
“HKL adalah salah satu ikon dalam industri perkhidmatan kesihatan dan memberi layanan begitu baik kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama ataupun status nilai penghormatan yang dikagumi oleh diri saya.
“Saya berharap agar nilai kesaksamaan yang dipraktik oleh pihak HKL akan diteruskan.
“Saya berasa bersyukur dan bangga kerana mendapat peluang ini untuk mengambil bahagian dengan HKL dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama pihak pengurusan tertinggi HKL hari ini.
Sebelum ini, syarikat itu mengadakan pelbagai program dan aktiviti amal yang melibatkan anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal hampir setiap tahun.
Aktiviti amal ini biasanya diadakan pada bulan perayaan dengan tujuannya untuk mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan.
Antara program CSR syarikat tersebut ialah bantuan kewangan, makanan dan barangan keperluan kepada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya, warga emas serta menaja umat Islam ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
Abdul Malik juga berharap institusi seperti HKL sebegini harus dipertingkatkan dan bersedia untuk membantu pesakit pada tahun akan datang dengan peningkatan bantuan.
“Saya rasa berpuas hati kerana dapat membantu insan di sini dan gembira melihat senyuman mereka.
“Saya doakan ikatan persaudaraan Malik Streams Corporation Sdn Bhd dan HKL sentiasa kekal berterusan,” katanya.
Katanya lagi, HKL merupakan hospital kerajaan terbaik di Malaysia serta salah satu hospital terbesar di rantau Asia Tenggara yang memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat hampir sejak 1870-an hingga kini.
“Tidak dinafikan tenaga kerja HKL yang cekap merupakan tonggak kejayaan perkhidmatan ini. Sebagai menghargai dan mengenang jasa baik perkhidmatan kakitangan HKL, syarikat Malik Streams Corporation mengadakan program ini.
“Selain itu, pesakit-pesakit yang dipilih merupakan insan yang benar-benar perlukan bantuan sewajarnya dari segi kewangan dan barang keperluan seperti pesakit tua, ada yang tidak mempunyai ahli keluarga untuk menjaganya serta pesakit yang mempunyai latar belakang kebajikan.
“Syarikat Malik Streams Corporation ingin membawa senyuman, kemeriahan dan meringankan bebanan pesakit-pesakit yang tidak mempunyai keluarga terdekat dan tidak dapat pulang ke halaman kampungnya pada Hari Raya ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette