Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mempamerkan kebolehan memasak daging kebab pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi berurusan dengan pihak berkuasa di Syria dan Turki untuk membawa pulang balu dan anak anggota militan Daesh warga Malaysia.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, adalah menjadi tanggungjawab PDRM untuk membawa pulang ahli keluarga anggota militan yang juga merupakan anak Malaysia.

“Bagi mereka yang terpangaruh kegiatan keganasan di sana akan diadili oleh undang-undang di negara kita.

“Sementara di sana anak isteri yang kita telah sahkan bahawa mereka tidak terlibat langsung dalam kegiatan keganasan akan dibawa balik dan diberikan kaunseling sebelum membebaskan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Bazaar Ramadan di Jalan Tun Mohd Fuad 1, Taman Tun Dr Ismail Petaling Jaya bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di sini.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, sebelum ini sudah ada beberapa orang balu dan anak anggota militan warga Malaysia telah dibawa pulang.

“Agak ramai juga lagi yang perlu dibawa balik (balu dan anak),” katanya sambil menjelaskan tempoh serta proses membawa mereka pulang bergantung kepada keadaan di Syria dan Turki.

Ditanya persiapan polis memantau kegiatan berunsur Daesh menjelang 1 Syawal, beliau menasihatkan orang ramai memberikan kerjasama untuk memastikan  kegiatan itu dicantas di peringkat akar lagi.

Katanya usaha berterusan akan digandakan terutama berikutan keadaan serantau khususnya serangan bom di Bangladesh baru baru ini.

“Keadaan itu kita pantau di Malaysia dan perkuatkan tindakan pemantauan mengelak insiden seumpama berlaku di sini.

“Kita sentiasa bersiapa sedia dan bersyukur setakat ini tidak ada sebarang kejadian yang dicetuskan puak pengganas di negara ini.

“Saya harap walaupun musim perayaan, anak buah saya terus bekerja demi mengelak sebarang insiden tidak diingini dan orang ramai juga perlu menyalurkan apa jua maklumat tentang kewujudan sel-sel atau individu yang cenderung ke arah kegiatan keganasan ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette