TOKYO – Sebuah pesawat Hong Kong Airlines (HKA) terpaksa menghabiskan masa selama enam jam di tarmac di Tokyo petang semalam selepas dua skru dilaporkan tercabut daripada pesawat itu.

Pesawat yang dijadualkan berlepas dari Jepun pada jam 4 petang waktu tempatan berlepas menuju ke Hong Kong pada pukul 10 malam, South China Morning Post.

Ia merupakan kali ketujuh dalam tempoh empat hari pesawat HKA yang menyediakan perkhidmatan antara dua bandaraya itu tiba di destinasi dengan kehilangan komponen seperti skru dan penutup lampu.

Para penumpang diminta kekal dalam pesawat itu sepanjang tempoh kelewatan tersebut dengan krew penerbangan menghidangkan makanan dan minuman.

“Penerbangan Hong Kong Airlines, HX609 dari Narita ke Hong Kong pada 29 Mei 2019 terlewat untuk menggantikan dua skru pada panel yang terletak di bawah sayap,” kata jurucakap syarikat tersebut.

“Pesawat ini berlepas pada pukul 10.30 malam,” tambah beliau dan memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi penumpang.

Terhadulu, badan pemerhati keselamatan penerbangan Jepun menggesa syarikat penerbangan itu mengambil langkah wajar bagi memastikan komponen yang tertanggal dari pesawat tidak mendatangkan ancaman kepada manusia dan harta awam.

Pemeriksaan mengejut oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun yang memantau penerbangan awam mendapati terdapat enam insiden yang berlaku antara 26 Mei dan 28 Mei yang mana sekurang-kurangnya satu komponen pesawat HKA hilang, menurut laporan rangkaian telesssssyen Jepun, NHK.

Laporan NHK mengenalpasti beberapa komponen hilang seperti penutup lampu dan skru.

Dalam satu kenyataan semalam, HKA berkata, syarikat tersebut membenarkan pesawat yang kehilangan komponen itu terbang selagi komponen yang hilang tidak mendatangkan risiko keselamatan kepada pesawat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast