Datuk Seri Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta berlaku adil kepada rakyat susulan spekulasi tarif elektrik akan dikaji semula pada 1 Julai ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, rakyat Malaysia kini menderita selepas harga barangan meningkat sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan diperkenalkan semula selepas Cukai Barangan dan Jualan (GST) dimansuhkan.

Menurutnya, peningkatan caj pada bil elektrik baru-baru ini telah pun mengundang kemarahan rakyat.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, pada Jun 2018,kerajaan telah menghapuskan rebat elektrik bagi semua kategori pengguna.

Dalam masa sama, mereka yang menjalankan perniagaan pula dikenakan surcaj yang tinggi.

Mulai Januari 2019, kerajaan PH juga telah menghadkan penerima elektrik percuma hanya kepada mereka yang mempunyai bil tidak lebih daripada RM20 sebulan.

Pada Mac 2019, surcaj elektrik untuk perniagaan dan pengguna domestik pula dinaikkan.

“Berlaku adillah kepada rakyat yang sedang menderita ketika ini, tambahan pula harga barangan semakin meningkat sejurus cukai SST diperkenalkan bagi menggantikan GST, walaupun pemimpin PH sebelum ini pernah berjanji bahawa dengan menghapuskan GST maka harga barang akan turun,” katanya.

Beliau menambah, sumber elektrik di Malaysia ini dijana melalui gas dan arang batu.

Memandangkan harga gas dan arang batu telah jatuh secara berterusan pada paras terendah dalam tempoh 3 tahun pada bulan Mac, maka rakyat Malaysia mendesak kerajaan PH supaya menghapuskan surcaj dan mengembalikan semula rebat elektrik sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum PRU14 lalu. – MalaysiaGazette