BOLLYWOOD – Pelakon lelaki popular India, Salman Khan yang sentiasa tampil dengan pelbagai watak dalam setiap filem bertegas tidak akan sesekali melakukan sebarang adegan panas mahupun bercium.
Times of India melaporkan, Salman yang kini sedang mempromosi filem aksi terbarunya, ‘Bharat’ bersama pelakon Katrina Kaif itu mendedahkan dirinya tidak selesa melakukan aksi panas atau ranjang sekalipun hanya sekadar bercium.
Malah kata pelakon lelaki berbadan sasa itu, dia tidak akan melakukan sedemkian apatah lagi filem-filemnya juga dipertontonkan kepada kanak-kanak selain daripada konsep hiburan seisi keluarga.
“Adalah sesuatu yang sangat aneh apabila tibanya ketika adegan seperti ranjang atau bercium, kanak-kanak khasnya yang menonton bersama keluarga terpaksa mengalihkan pandangan.
“Saya sebenarnya tidak pernah selesa lakukan sedemikian sejak dulu lagi. Dan pastinya tidak akan lakukan sampai bila-bila juga.
“Walaupun saya kena akui kini penonton juga sudah bertukar selera dan pemikiran tetapi saya masih di takuk yang lama, tetap tidak akan selesa.
“Paling-paling pun, saya akan buka t-shirt dan tunjuk badan sasa saya, itu sahaja yang anda dapat dari saya,” katanya yang sudah bergelumang dalam dunia perfileman sejak tiga dekad ini.
Tambah Salman, dia pernah beberapa kali diminta oleh pengarah filem untuk melakukan beberapa adegan panas namun ditolak secara baik.
“Malah saya akan terangkan dari awal lagi tidak akan sesekali berlakon dalam adengan seperti itu walaupun hanya sekadar bercium mulut. Kalau saya sudah tolak sebelum mengapa kini saya perlu? Sehingga bila-bila, saya tidak akan berlakon sedemikian rupa,” tegasnya. –MalaysiaGazette