Datuk Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – “Kenapa YB Johari Abdul buat kenyataan yang boleh merosakkan reputasi kerajaan PH negeri Kedah?” soal Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani itu bahawa masalah pembangunan di negeri Jelapang Padi itu akan selesai apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelak tidak harus dikeluarkan pleh pemimpin kanan PH.

Menurut Khairuddin yang terkenal sebagai anak didik Tun Dr Mahathir Mohamad itu, apa yang cuba dinyatakan atau diketengahkan oleh Johari itu juga boleh mengguris perasaan sesama kawan.

“Apa maksud YB Johari Abdul bila keluarkan kenyataan sedemikian rupa?!
Kerajaan PH negeri kedah yang diterajui oleh Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir tak buat kerja di negeri jelapang padi selama ini?

“Atau adakah maksud YB Johari Abdul itu membawa erti Menteri Besar Kedah masakini tak mampu nak selesaikan masalah-masalah rakyat di negeri tersebut?” soalnya lagi dalam kenyataan di laman Facebook.

Khairuddin turut merujuk kenyataan Johari yang beliau kini sedang menyusun program ‘roadshow’ di Kedah untuk mendapat input permasalahan rakyat secara terus.

“Sekiranya saya sudah lama menjawat jawatan ahli parlimen di Kedah, saya tak perlu buat kajian lagi! Sudah pasti saya sudah mahir dan mengetahui pelbagai permasalahan rakyat di kedah!

“Tak perlu buang masa untuk menjelajah seluruh negeri Kedah lagi tetapi terus bekerja tanpa banyak bercakap,” katanya sinis.

Khairuddin berkata, kenyataan Johari itu juga menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang tidak cerdik dan tidak buat kerja sehingga terpaksa menganjirkan siri jelajah untuk mendengar permasalahan rakyat.

Sepatutnya, kata beliau, setiap fakta permasalahan rakyat di Kedah sudah direkodkan dalam ‘kepala otak’ Johari kerana beliau bukan pemimpin baru di negeri itu.

“Kenyataan-kenyataan yang seperti ini tidak harus dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin senior PH.

“Perbuatan dangkal seperti ini boleh merosakkan imej PH secara menyeluruh,” katanya lagi.

Majlis presiden Pakatan Harapan, katanya, harus menegur mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat perpaduan sesama ahli dan seterusnya merosakkan imej PH.

Beliau turut menyarankan Johari (jika pandai sangat) supaya bertemu sendiri Menteri Besar untuk melontarkan apa sahaja cadangan ke arah memperkuatkan mutu pentadbiran kerajan PH di Kedah.

“Inilah masalah dengan kalangan tertentu di dalam PH yang mempunyai agenda kepentingan diri.

“Mereka seharusnya meletakkan agenda PH serta kepentingan rakyat di atas segala-galanya untuk jaminkan PH terus cemerlang, gemilang dan terbilang di sanubari rakyat jelata,” katanya. – MalaysiaGazette