IPOH – Tiada sebarang kejadian tumpahan minyak di sekitar Terowong Menora di sini seperti yang tular di media sosial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Zakaria Abd Rahman berkata hasil rondaan sepanjang Op Selamat 15 tidak menemukan sebarang kesan tumpahan minyak seperti di dalam gambar yang tular.

“Saya juga telah membuat semakan dan tiada sebarang kenderaan seperti di dalam gambar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menafikan kejadian tumpahan minyak di sekitar laluan sebagaimana yang didakwa.

Menurut jurucakap LLM, pihaknya tidak menerima sebarang insiden tumpahan minyak di kawasan berkenaan semalam dan hari ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati laluan itu selamat digunakan oleh pengguna jalan raya ketika ini,” katanya sambil menyatakan gambar yang tular dipercayai kejadian pada tahun 2017.

Semalam, tular gambar beberapa buah kenderaan terbabas dikatakan berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menuang minyak di atas jalan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast