Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi semasa pelajar itu berseorangan diri di halaman rumahnya, sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna hitam.

KUALA LUMPUR – Angka kematian pada hari kesepuluh Ops Selamat meningkat kepada 176 kes.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Senior Assisten Komisioner, Datuk Asmawati Ahmad berkata, keseluruhan 16,470 kemalangan yang melibatkan 23,263 kenderaan dilaporkan bagi tempoh di antara 29 Mei sehingga 7 Jun lepas.

Ops Selamat 15 dilancarkan pada 29 Mei lalu sempena perayaan Aidilfitri.

“Sejumlah 164 kemalangan maut yang menyebabkan 176 kematian direkodkan.

“Statistik yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Persekutuan menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 28 diikuti Johor (25) dan Perak (18).

“Sejumlah 217,683 saman dikeluarkan dalam tempoh berkenaan menerusi 2,902 operasi trafik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Asmawati, sejumlah 30,529 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik di Selangor diikuti 17,706 saman dikeluarkan di Johor dan 16,464 di Perak.

Dalam pada itu, sejumlah 441 kes pecah rumah dilaporkan dalam tempoh 29 Mei hingga 7 Jun lalu yang mana 107 dilaporkan berlaku di Selangor, 46 di Sabah dan 42 di Sarawak.

Ops Selamat yang akan berakhir 12 Jun ini memberi fokus kepada enam kesalahan utama antaranya memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak menggunakan “hands-free”, memotong barisan, memandu laju dan melanggar lampu isyarat. – MalaysiaGazette