PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat Kabinet hari ini tidak langsung menyentuh mengenai penularan video intim melibatkan seorang lelaki mirip ahlinya.
Menurut beliau, perkara itu tidak dibangkitkan oleh mana-mana ahli Kabinet dan hanya membincangkan mengenai pentadbiran negara.
“Isu ini tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi. Tidak ada seorang pun ahli Kabinet yang membangkitkan isu berkenaan,” katanya ketika menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR, di ibu pejabat parti itu hari ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR itu berkata, perkara tersebut akan dibangkitkan dalam mesyuarat hari ini yang akan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat secara mingguan itu dipercayai bagi membincangkan isu penyebaran video intim berkenaan.
“Asalnya pada 8 malam tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim ada jamuan raya malam ini dan minta diawalkan.
“Diawalkan hari ini tidak ada kena mengena dengan apa-apa isu yang terkini,” katanya lagi.
Saifuddin turut ditanya mengenai pengetahuan beliau mengenai penyebaran tiga video berkenaan di media sosial, awal pagi semalam.
Ini kerana ketika persoalan itu ditanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Saifuddin adalah salah seorang menteri Kabinet yang hadir selain Datuk Seri Azmin Ali.
“Itu kali pertama saya dengar mengenai video itu. Bila wartawan bertanyakan soalan, ada respon daripada menteri dan itu saya tahu,” katanya. – MalaysiaGazette