KUALA LUMPUR – Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Haziq Abdul Aziz, didakwa rapat dengan kem Reformasi 20 tahun di bawah pimpinan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semasa pemilihan PKR tahun lalu.
Perkara itu didedahkan, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Blisson Zainuddin yang mendakwa mengenali Haziq sejak pemilihan PKR lalu dan mengetahui Ketua AMK Santubong itu berada dalam kem Rafizi.
“Lelaki tersebut saya kenal sejak pemilihan PKR lepas, dia dikenali sebagai baru masuk ke PKR dan sebelum ini aktif dalam Barisan Nasional (BN).
“Namun, walaupun baru masuk parti, dia diberi kelulusan khas bertanding dalam pemilihan parti dan dikenali juga rapat dengan kem Reformasi 20 tahun di bawah Rafizi Ramli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sebentar tadi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.
Blisson berkata, penyebaran video lucah yang didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet sejak kelmarin merupakan satu perbuatan fitnah dan boleh disifatkan sebagai satu perancangan jahat.
“Hari ini saya telah membuat satu akuan bersumpah berkenaan lelaki tersebut. Dia (Haziq) bersungguh-sungguh mendesak saya memberitahu mengenai butiran jadual Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
“Sepanjang kempen PRK Sandakan, saya dihubungi lelaki tersebut, Haziq Aziz banyak kali bertanya kepada saya berkenaan jadual dan aktiviti termasuk tempat penginapan Mohamed Azmin melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsAap,” ujarnya.
Walaupun telah mengundang rasa tidak senang dirinya kerana Haziq terlalu mendesak, namun atas dasar politik dan tanggungjawab maka dia melayani permintaan Haziq tersebut, katanya
“Selepas PRK Sandakan berlangsung dan dalam minggu lepas dia ada hubungi saya melalui panggilan telefon meminta saya mengabaikan dan tidak mendedahkan kepada sesiapa mengenai komunikasi dia dan saya.
“Saya sendiri pelik namun, tidak mengambil serius namun setelah terdedah video yang mana dia menfitnah Mohamed Azmin, saya mula memahami kenapa dia bersungguh mendesak saya mendapatkan butiran lawatan Mohamed Azmin dan saya sangat yakin ia berkaitan perancangan jahat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette