KUALA LUMPUR – Haziq Abdul Aziz tidak pernah menjadi intern kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.
Perkara itu didedahkan oleh Khalid Jaafar yang merupakan Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat MB Selangor ketika itu.
Katanya, fakta yang dikemukakan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin bahawa Haziq pernah menjadi pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor adalah salah.
“Saya sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat MB ketika itu mencadangkan kepada DSAA (Azmin) supaya mengambil Haziq sebagai intern untuk memberi pendedahan kepada seorang anak muda untuk menimba pengalaman.
“Haziq ketika itu kelihatan berpotensi dan dia adalah seorang alumni Sekolah Politik Institut Kajian Dasar,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Khalid kini menjadi Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, bagaimanapun cadangan beliau telah ditolak oleh Azmin dan untuk menjaga hati Haziq, beliau telah mencadangkan kepada anak muda tersebut untuk menjadi intern di Pejabat Menteri Besar di bawah pengawasannya di Tingkat 20.
“Haziq menolak pelawaan saya. Saya dimaklumkan penolakan DSAA menyebabkan Haziq amat kecewa dan marah dengan DSAA,” katanya.
Rentetan daripada itu, menurut Khalid, Haziq kelihatan menyeberang sempadan politik dengan memaparkan gambar-gambar bersama tokoh-tokoh Barisan Nasional (BN) seperti Ketua Menteri Sarawak, menteri-menteri Kabinet seperti Nancy Shukri di laman media sosialnya.
Ketika itu, katanya, beliau mula berpendapat Haziq lebih merupakan anak muda glamour freak.
“Bila PRU14 hampir Haziq menjadi mata tombak propaganda BN kepada anak muda berdasarkan pengalaman beliau sebagai aktivis mahasiswa dan jaringan Sekolah Politik IKD.
“Bahkan beliau berani menghantar klip video kempen Khairy Jamaluddin ke dalam kumpulan WhatsApp yang saya sendiri asaskan. Lantas saya menyingkirkan beliau dari group tersebut.
“Sehingga sekarang peristiwa tersebut menjadi lelucon di kalangan jaringan intelektual muda Jalan Telawi. Kesediaan Haziq menggadaikan maruah dirinya kepada komplot politik kotor memberikan kesedaran pada diri saya sendiri,” katanya.
“Hampir 20 tahun saya memimpin IKD, menjalan program untuk menyemai semangat pencerahan di kalangan anak muda yang mahu terjun ke dunia politik.
“Ini kami lakukan melalui Sekolah Politik dengan kerjasama Konrad Adenauer Stiftung (Jerman) dan projek Asian Renaissance dengan kerjasama Sasakawa Peace Foundation (Jepun). Dari kedua-dua inisiatif ini IKD telah melahirkan Menteri, Menteri Besar, Timbalan-Timbalan Menteri, EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN.
“Selalu kita temukan dalam sebuah keluarga besar yang terkenal dan berjaya ada black sheep. Dalam alumni IKD, Haziq adalah black sheep. Penularan pengakuan jijik Haziq menyebabkan ramai berasa mual dengan politik,” katanya.
Semalam Shamsul Iskandar yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, sebelum bekerja di Kementerian Industri Utama, Haziq pernah terlibat dengan beberapa pimpinan KEADILAN.
Di antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian, sekarang ini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (YB Sivarasa Rasiah, Puan Latheefa Koya dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar, Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: