KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menafikan dakwaan beliau ada agenda tertentu mengambil Haziq Abdul Aziz bekerja dengannya.

Menurut Timbalan Menteri Industri Utama itu perbuatan bekas setiausaha sulit kanannya itu juga mengejutkan dirinya.

“Saya menyeru pihak-pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar kononnya saya mempunyai agenda tertentu dengan perlantikan Haziz agar segera menghentikan tuduhan tersebut.

“Saya juga tegaskan bahawa saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin ataupun individu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Ketua Penerangan PKR itu mahu orang ramai memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu berkenaan.

Terdahulu, beliau menegaskan pemilihan Haziq sebagai stafnya selepas pegawainya meletakkan jawatan.

“Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan. Setelah ditemuduga dan mengambilkira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan juga keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Lagi pun, menurutnya, Haziq mempunyai sejarah yang agak lama dengan PKR dan aktif sejak berusia 19 tahun lagi.

“Saya mula mengenali Haziq sekitar tahun 2012 di mana beliau pada ketika itu beliau adalah pengasas dan presiden Mahasiswa KEADILAN Universiti Malaya sebuah sayap pelajar parti KEADILAN,” katanya.

Menurutnya, sebelum dilantik bekerja di Kementerian Industri Utama, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa pimpinan KEADILAN di antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian, sekarang ini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (YB Sivarasa Rasiah, Puan Latheefa Koya dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar, Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/13/saya-kenal-haziq-dari-jauh-azmin/