KUALA LUMPUR – Sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik perlu diterjemahkan bermula dalam keluarga UMNO sendiri, termasuk dengan memberi ruang lebih luas kepada calon wanita berpotensi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, beliau melihat ucapan dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai satu penegasan penting terhadap peranan dan masa depan wanita dalam politik parti.
Menurutnya, penekanan Noraini terhadap laluan 30 peratus itu amat penting kerana Wanita UMNO dan Puteri UMNO mempunyai kekuatan serta barisan pemimpin yang berpotensi untuk diketengahkan.
“Ini satu ucapan yang sangat baik. Apa yang saya pandang ialah politik wanita UMNO. Kita ada Wanita, kita ada Puteri dan laluan 30 peratus itu sangat penting.
“Bagi saya, kita perlu melihat 30 peratus itu dalam keluarga kita sendiri,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Noraini.
Bibi Sharliza berkata, kenyataan Presiden UMNO bahawa wanita akan diberi peluang pada PRU akan datang turut memberi suntikan keyakinan kepada Wanita UMNO untuk terus memperkukuh peranan dalam parti.
Beliau berharap peluang itu dapat diterjemahkan dengan pemberian lebih banyak kerusi kepada calon wanita yang benar-benar mempunyai potensi untuk menang.
“Kita berharap dapat kerusi yang lebih banyak bagi calon-calon wanita yang berpotensi untuk menang,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha menyediakan satu jawatankuasa bagi melatih pemimpin wanita di peringkat akar umbi yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk diketengahkan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan calon wanita bukan sahaja diberi peluang bertanding, tetapi dipersiapkan dengan baik untuk menghadapi pilihan raya.
Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, pengalaman beliau bermula dalam Puteri UMNO sebelum menyertai Wanita UMNO membolehkannya melihat sendiri perubahan pilihan wanita dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka.
Menurutnya, wanita mempunyai pilihan sama ada meneruskan perjuangan dalam politik atau memilih kerjaya dalam sektor korporat, terutama dalam kalangan golongan profesional.
“Bila kita berada dalam Wanita hari ini pun, kita ada pilihan sama ada mahu terus dalam politik ataupun berada dalam sektor korporat.
“Bagi saya, hari ini kita kena ada pilihan yang betul. Bukan kita menyarankan sahaja, tetapi kita perlu menguasai 30 peratus itu,” tegasnya.
Beliau turut berharap tempoh sebelum pemilihan UMNO tahun depan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkukuh gerak kerja Wanita UMNO dan menyediakan lebih ramai pemimpin wanita berpotensi.
Bibi Sharliza pada masa sama menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Noraini dan berharap Ketua Wanita UMNO itu dapat mencapai pencapaian terbaik pada PRU akan datang dengan sokongan ketua-ketua Wanita UMNO negeri.
“Saya harap Datuk Seri Noraini akan dapat pencapaian yang terbaik pada PRU ini. Ketua-ketua Wanita negeri akan membantu dan kami sangat berharap Presiden memberikan kepercayaan kepada wanita dalam keluarga kami,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















