Khairul Nizam menunjukkan foto isteri dan anak-anaknya yang terkorban dalam kebakaran di rumahnya di Taman Titiwangsa, Kluang malam tadi.

KLUANG – “Paling sedih bomba beritahu, anak nombor dua, Abang Ngah atau Haziqq ditemui berpelukan dengan adiknya, Hadiff manakala isteri saya berada di sebelah mereka.

“Tiga-tiga pergi sekali, semoga mereka mati syahid,” ujar lelaki kepada isteri dan dua anak lelakinya yang terkorban dalam kebakaran di rumahnya di Taman Titiwangsa di sini malam tadi.

Khairul Nizam Wahid, 50, berkata, ketika kejadian, dia baru pulang ke rumah pada pukul 10.30 malam selepas keluar minum bersama-sama dua jirannya di restoran berhampiran.

Khairul Nizam ketika ditemui pemberita menceritakan apa yang berlaku semasa tragedi meragut nyawa tiga insan yang disayanginya.

Dia yang baru bersara sebagai tukang masak di Kem Mahkota di sini berkata, pada mulanya dia tidak menyedari berlaku kebakaran dalam rumahnya.

Ketika memasuki rumah, dia terkejut ternampak api kecil pada sofa di bahagian ruang tamu sebelum segera menarik sofa itu dan cuba membuka pintu dapur.

“Tiba-tiba api sudah marak dan pada masa sama isteri sempat menghubungi, saya bertanya apa yang berlaku, dia jawab rumah terbakar beberapa kali dan kemudiannya dia terus senyap.

Keadaan rumah Khairul Nizam yang terbakar dan mengorbankan isteri dan dua anaknya.

“Saya cuba hendak buka pintu dapur tapi gagal sebab asap sudah terlalu tebal,” katanya ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini hari ini.

Terdahulu, portal ini melaporkan tiga beranak maut selepas terperangkap dalam kebakaran dalam rumah mereka di taman tersebut.

Dalam kejadian dilaporkan pukul 10.44 malam itu, mangsa Noraini Ibrahim, 49, bersama-sama dua anak lelakinya, Khairul Nur Haziqq Khairul Nizam, 18, dan Khairul Nur Hadiff, 11, ditemukan maut dalam sebuah bilik di tingkat atas.

Tiga beranak maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran rumah di Taman Titiwangsa, Kluang, malam tadi.

Bercerita lanjut, Khairul Nizam berkata, ketika kejadian, jirannya juga masuk ke bilik yang terbakar itu tetapi tidsk berjaya.

“Jiran saya orang Pakistan sempat memanjat bumbung, nak cuba selamatkan mereka tetapi tidak sempat sebab api sudah marak. Kalau boleh, saya nak gadai nyawa sendiri tapi tangga tiada, saya tidak boleh panjat dari luar,” katanya.

Wanita dan dua anaknya itu dikatakan terperangkap dalam bilik atas rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia

Dia menganggap pemergian isteri dan dua anaknya itu merupakan satu kehilangan besar dalam hidupnya.

“Kami sangat rapat, tak pernah berpisah dalam sehari.. memang kami berempat selalu keluar berjalan-jalan. Kalau berpisah pun sekejap sahaja sebab mereka suka main boling setiap malam tetapi semalam tak pergi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu, dua anaknya maut dalam kebakaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here