Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media sambil diiringi Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari (tengah) pada Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Gabungan Anak Syarikat PKNS di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor. foto MALAYSIA GAZETTE, 13 JUN 2019

KUALA LUMPUR- Timbalan Presiden PKR,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui mengenali Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Muhammad Haziq Ali tetapi ia secara jauh sahaja.

“Saya mengenalinya dari jauh kerana dia adalah ahli parti, pernah menjadi ahli parti kemudian menyertai pembangkang dan apabila kita menang, dia lompat balik ke dalam Keadilan.

“Ini karakter individu yang ‘diperalatkan’ dalam fitnah ini,” katanya yang kelihatan tenang ketika ditanya pemberita sama ada mengenali lelaki yang mengaku melakukan hubungan intim dengannya seperti yang tersebar dalam dua siri video yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Ia merupakan kenyataan pertama beliau berhadapan dengan wakil media berkenaan isu yang sama. Sebelum itu, Mohamed Azmin hanya mengeluarkan kenyataan menafikannya.

Tidak mahu mengulas lanjut mengenai tuduhan yang dibuat oleh Ketua AMK Santubong itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya di kementerian.

Beliau juga menegaskan tidak mahu membuat sebarang tuduhan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap penghasilan dan penyebaran video tersebut.

Jelasnya, beliau telah diberi mandat yang besar oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memastikan pertumbuhan negara terus berkembang selain menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan.

Beliau juga tidak mahu memikirkan siapakah yang bakal dilantik Mahathir sebagai pengganti beliau.

“Saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut. Fokus utama saya adalah untuk memastikan ekonomi berkembang dan pelaburan bertambah.

“Saya terlalu sibuk dengan kerja-kerja dan tanggungjawab di kementerian saya. Tanggungjawab saya besar.

“Sesiapa yang mengenali saya sejak di Selangor pun saya jarang bercakap mengenai politik kerana saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Siapakah yang bakal dilantik Perdana Menteri untuk menggantikan beliau (Mahathir) adalah hak mutlaknya.

“Beliau berhak untuk melantik sesiapa yang difikirkan layak dan yang penting mestilah diterima rakyat,” katanya lagi.

Dua hari lepas, beberapa keping gambar dan video ‘intim’ mirip  Mohamed Azmin manakala awal pagi semalam, Muhammad Haziq pula menyiarkan sebuah video pengakuan bahawa individu di dalam video berkenaan adalah dirinya dan mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu bukan pemimpin yang baik.

Pagi tadi, Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi membuat laporan polis berhubung video lucah yang mengaitkan Mohamed Azmin.

Muhammad Hilman Idham juga melakukan perkara yang sama  di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pukul 10.34 pagi tadi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gambar dan video intim lelaki mirip seorang menteri tersebar

Haziq mengaku dirinya dalam video tular

Lepas Hilman, Haziq pula buat laporan polis