KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak seharusnya menunggu tragedi berlaku sebelum mengambil langkah memperkukuh keselamatan dan kebajikan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan tugas berisiko.
Penaung merangkap Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N. Sivakumar berkata, tragedi nahas helikopter di Sarawak yang mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas perubatan perlu menjadi pengajaran kepada kerajaan.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga mangsa. Kehilangan insan tersayang dalam keadaan sebegini bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi mereka pergi ketika sedang melaksanakan tanggungjawab untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, petugas kesihatan bukan sekadar menjalankan tanggungjawab profesional sebaliknya turut membuat pengorbanan besar apabila ditugaskan ke kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar dicapai.
Katanya, di sebalik setiap petugas yang menjalankan tugas berkenaan terdapat keluarga yang menunggu kepulangan mereka dan nyawa mereka juga perlu dihargai serta dilindungi.
Dalam masa sama, Sivakumar berkata, keperluan masyarakat pedalaman terhadap Perkhidmatan Doktor Udara tidak boleh diketepikan kerana terdapat pesakit kronik dan golongan yang tidak mempunyai pilihan pengangkutan lain untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, kerajaan dan KKM perlu menjalankan penilaian keselamatan menyeluruh terhadap operasi Perkhidmatan Doktor Udara termasuk keadaan dan usia pesawat, rekod penyelenggaraan, prosedur operasi, faktor cuaca dan geografi serta tahap risiko setiap penerbangan.
Walaupun pengangkutan udara disediakan melalui pihak luar, jelasnya, perkara itu tidak mengurangkan tanggungjawab kerajaan terhadap keselamatan dan kebajikan kakitangan KKM yang ditugaskan.
Keadaan dan usia helikopter BO-105 yang dilaporkan dibina pada 1991 juga wajar menjadi sebahagian daripada penilaian keselamatan tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan rasmi selesai.
Sivakumar turut mencadangkan supaya alternatif seperti klinik bergerak dan pengangkutan sungai dinilai mengikut keadaan geografi serta keperluan masyarakat setempat.
Manakala petugas yang masih perlu menggunakan pengangkutan udara perlu diberikan latihan, taklimat keselamatan, perlindungan insurans dan kemudahan yang sewajarnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan kebajikan serta struktur elaun kakitangan KKM yang menjalankan tugas berisiko, termasuk insentif RM30 bagi perkhidmatan kesihatan udara.
“Persoalannya bukan semata-mata sama ada RM30 itu banyak atau sedikit. Kita perlu melihat sama ada jumlah tersebut benar-benar mencerminkan tanggungjawab, pengorbanan, komitmen dan risiko yang dipikul petugas yang sanggup pergi ke kawasan sukar demi memastikan rakyat mendapat rawatan,” ujarnya.
Sivakumar berkata, pampasan kepada keluarga mangsa sememangnya penting namun ia tidak boleh menjadi ukuran bahawa tanggungjawab terhadap keselamatan telah selesai.
Beliau mahu siasatan nahas dilakukan secara telus dan menyeluruh serta sebarang kelemahan diperbaiki segera supaya tragedi sama tidak berulang. – MalaysiaGazette
















