KUALA LUMPUR – Kemelut berkaitan adat di Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera secara berhemah bagi memastikan isu berkenaan tidak terus berlarutan dan menjejaskan kestabilan negeri.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid percaya Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memahami kedudukan adat dan institusi berkaitan di Negeri Sembilan serta mampu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ketika ini ialah semua pihak memberi ruang kepada proses penyelesaian dilakukan dengan tertib tanpa membiarkan isu berkenaan terus menjadi polemik.
“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. Jangan ambil masa terlalu lama kerana kita tidak tahu apa lagi yang boleh berlaku selepas ini.
“Kita kena selesaikan perkara yang berlaku dengan segera dan dengan cara yang baik,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Bibi Sharliza berkata, isu berkaitan adat perlu ditangani mengikut saluran dan institusi yang sememangnya mempunyai peranan dalam struktur Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Katanya, kerajaan negeri berperanan dari sudut pentadbiran, manakala perkara berkaitan adat mempunyai saluran tersendiri yang perlu dihormati.
“Adat Negeri Sembilan ini ada penghulu, ada ibu soko dan ada rangkaiannya. Kita kena melalui saluran-saluran yang ada. Kerajaan adalah pentadbir. Kita mentadbir perkara berkaitan adat, tetapi bukan kita yang menyelesaikan masalah adat,” jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan terbaik ialah semua pihak duduk bersama dan mencari penyelesaian yang dapat diterima khususnya dalam menjaga institusi adat serta keharmonian Negeri Sembilan.
Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah tidak melihat isu berkenaan sebagai sesuatu yang perlu dipanjangkan sehingga menjejaskan perjalanan kerajaan negeri.
Sebaliknya, beliau mahu kerajaan yang baru dibentuk diberikan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya selepas rakyat memberikan mandat pada pilihan raya negeri lalu.
“Kerajaan sudah selesai dibentuk, Barisan Nasional sudah memerintah dan Menteri Besar sudah dilantik. Jadi kita mahu perkara ini diselesaikan dengan baik.
“Kita tidak mahu isu ini tersangkut terlalu lama sehingga menimbulkan masalah lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, keutamaan UMNO ketika ini adalah memperkukuh parti dan memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, kestabilan Negeri Sembilan juga penting supaya UMNO dapat terus memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta agenda parti.
“Kita tidak mahu perkara ini menjadi polemik yang berpanjangan. Kita mahu ‘gelombang biru’ ini berterusan. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dengan baik. Kita harapkan yang baik-baik untuk Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Bibi Sharliza turut meminta rakyat supaya bertenang dan memberi ruang kepada semua pihak untuk menyelesaikan kemelut berkenaan melalui pendekatan yang terbaik.
Beliau yakin penyelesaian secara tertib dan berhemah akan dapat memastikan institusi adat terus dihormati selain memelihara kestabilan kerajaan negeri dan perpaduan dalam UMNO. -MalaysiaGazette
















