KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu akses pendidikan yang lebih adil diperluas kepada semua golongan bagi memastikan latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang kepada anak-anak mendapatkan pendidikan sempurna.
Exco Puteri UMNO merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Seremban, Norliyana Sa-Fain berkata, masih terdapat pelajar khususnya di luar bandar dan daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kekangan untuk mendapatkan akses pendidikan berkualiti.
Katanya, isu pendidikan tidak seharusnya dilihat sekadar berkaitan peperiksaan, sebaliknya merupakan asas penting dalam menentukan masa depan anak-anak dan negara.
“Pendidikan bukan sekadar tentang peperiksaan. Pendidikan adalah tentang masa depan anak-anak. Pendidikan bukan satu pilihan, pendidikan adalah hak setiap anak bangsa.
“Kalau bukan kita yang perjuangkan masa depan mereka, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau berkata, masih terdapat anak-anak di tahap satu, tahap dua malah peringkat menengah yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Menurutnya, usaha membantu golongan tercicir perlu dilakukan secara proaktif dengan mendekati mereka di kampung dan komuniti, selain menyediakan ruang untuk mereka terus belajar.
Dalam masa sama, Norliyana berkata, jurang akses teknologi antara pelajar di bandar dan luar bandar serta perbezaan latar belakang ekonomi keluarga perlu diberi perhatian, terutama ketika dunia semakin berkembang dengan kecerdasan buatan (AI), teknologi STEM dan inovasi.
“Anak-anak kita bukan sekadar perlu diajar menggunakan teknologi, mereka mesti diberi peluang untuk mencipta teknologi.
“Mereka bukan sekadar pengguna, mereka mesti menjadi pencipta. Mereka bukan sekadar membeli inovasi, mereka mesti diberi peluang untuk menghasilkan dan memasarkan inovasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan inisiatif tuisyen dalam talian percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya bagi membantu ibu bapa yang terbeban dengan kos kelas tambahan.
Katanya, bayaran kelas tambahan antara RM50 hingga RM200 boleh menjadi beban kepada sesetengah keluarga, sedangkan dua jam sesi tuisyen mungkin mampu mengubah masa depan seorang anak. – MalaysiaGazette
















