Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melancarkan gimik pelancaran Buku 365 YB Menteri KPKT pada Majlis Pelancaran Aplikasi Mobil I-G (I-Gandaian), Majlis Perhimpunan Penjawat Awam KPKT dan Semarak Aidilfitri KPKT di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji secara mendalam permasalahan yang dihadapi masyarakat India di negara ini sehingga menyaksikan kaum itu merekodkan angka tertinggi memajakkan barang kemas di pajak gadai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau terkejut selepas mendapati sejumlah 1.6 juta kaum India melakukan urus niaga itu dalam statistik yang dikeluarkan kementerian itu hari ini.

Menurut beliau, terdapat sebanyak 593 premis pajak gadai aktif berdaftar dengan KPKT  dengan Selangor merekodkan sebanyak 191 pajak gadai diikuti Johor (80) dan Putrajaya (1).

“Dari segi jumlah nilai pajakan mengikut kaum pula menyaksikan  Melayu dengan jumlah pajakan bernilai RM3 juta, India (RM1.4 juta) manakala masyarakat Cina hampir RM1 juta.

“Bilangan pemajak kalau dilihat Melayu seramai 1.8 juta orang diikuti India 1.6 juta orang dan komuniti Cina 361,000 sahaja.

“Orang India banyak buat pajakan emas, tapi saya sendiri terkejut lihat angka ini sebab kaum India adalah monoriti di negara ini tetapi tertinggi dalam pajakan.

“Trend gaya hidup ini perlu dikaji dan menentukan apa permasalahan mereka hingga jumlah yang memajak begitu ramai.

“Saya rasa kebanyakan angka ini mewakili dari golongan berpendapatan rendah B40,” katanya dalam majlis Perhimpunan Bulanan yang menyaksikan pelancaran Aplikasi Mobil 1-Gadaian di sini.

Aplikasi itu diperkenalkan bagi memudahkan pengguna berurusan dengan premis pajak gadai tanpa dieksploitasi dengan kadar faedah melampau.

Tambah beliau, aplikasi memudahkan orang awam membuat carian premis pemegang pajak gadai (PPG) yang berlesen dan didaftarkan dibawah KPKT di semenanjung Malaysia.

Selain itu, melalui aplikasi berkenaan, orang awam boleh membuat aduan secara dalam talian, memuatkan pelbagai informasi tentang jenis-jenis kesalahan di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972(Akta 81) yang melindungi hak pemajak.

Menurutnya, pegawai bertanggungajawab terhadap Dasar Komuniti Negara akan diminta meneliti trend memajak dalam kalangan orang India.

Sabah dan Sarawak juga menunjukkan peningkatan berganda pemajak daripada 69,000 pada 2017 kepada 128,000 pada tahun lalu.

Katanya, Unit pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta pakar-pakar sosiologi perlu mengkaji tabiat disebalik trend peningkatan pemajak.

“Ia mungkin disebabkan masalah aliran tunai dan aspek positif mereka ada aset untuk digadaikan, walau bagaimanapun kita kena lihat teliti dalam semua aspek,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast