KUALA LUMPUR – Sekolah Integriti Sungai Petani (SISP), Kedah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Festival Teater Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Jabatan Penjara Malaysia (JPM).
Sekolah di bawah seliaan JPM itu mengalahkan tujuh pesaingnya dengan mementaskan teater bertajuk Kedai Sederet di Kampung Kami.
Kemenengan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta sijil penyertaan, plak iringan dan buku terbitan DBP.
Tempat kedua dimenangi Sekolah Integriti Perempuan Bentong (SIPB), Pahang dengan tajuk teater Baboon dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700 beserta buku terbitan DBP.
Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak dalam majlis penutup Festival Teater Remaja DBP-Penjara 2019 di Auditorium DBP di sini, hari ini.
Sebanyak lapan Sekolah Integriti (SI) bawah JPM menyertai pertandingan itu, yang masuk tahun kedua dianjurkan bersama DBP dan JPM.
SI Kluang (SIK), Johor hanya berpuas hati di tempat ketiga dengan teater bertajuk Longkang, dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Festival teater bermula semalam itu menyaksikan penglibatan pelajar dari SI bawah seliaan JPM berumur 13 hingga 21 tahun dari lapan SI seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, festival itu turut dimasukkan sebagai salah satu aktiviti di bawah program Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020.
Kata beliau, sebanyak 11 cerpen hasil karya 10 Sasterawan Negara telah dipilih bagi pertandingan kali ini dan semua skrip bertemakan dunia remaja dalam menghadapi kehidupan moden hari ini.
“Ini bagi mengiktiraf hasil seni Sasterawan Negara, selain memperkenalkan kepada pesalah juvana tokoh yang selama ini banyak membantu negara dalam penghasilan karya kreatif nusantara,” katanya.
Beliau berkata, festival itu dibuka untuk tontonan umum dengan tujuan menerapkan nilai murni dalam diri remaja khususnya pesalah juvana melalui persembahan teater yang penuh dengan mesej pengajaran.
Selain itu, katanya, penglibatan secara langsung dalam produksi teater juga dapat membentuk disiplin diri serta membina kekuatan mental dan fizikal dalam kalangan peserta.
Dalam pada itu beliau turut mengumumkan kemenangan beberapa anugerah yang diperkenalkan.
Antaranya, Anugerah Khas Juri dimenangi SK Kluang, Johor; diikuti Anugerah Pengarah Terbaik oleh Rohizat Noor guru dari SI Sungai Petani, Kedah.
Anugerah Skrip Terbaik dimenangi anggota penjara yang menyelia SI Perempuan Bentong, Pahang, Sarjan Ahmad Sa’idon Mohamad Mokhtar; Anugerah Sinografi Terbaik dimenangi SI Perempuan Bentong.
Anugerah Pelakon Harapan Terbaik dimenangi pelajar SI Perempuan Bentong, Norsyarinaz Md. Tarmizi, manakala Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik oleh pelajar SI Sungai Petani, Muhammad Shahmi Mohd Rashid. Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100.
Bagi Anugerah Pelakon Terbaik Teater Remaja DBP-Penjara 2019 dimenangi pelajar dari SI Sungai Petani, Mohamad Zulhusni Md. Sukor.
Dua SI yang mendapat hadiah saguhati ialah SI Marang, Terengganu dengan teater bertajuk Sehari Dalam Hidup Jinggat, dan Sekolah Henry Gurney Perempuan Melaka yang melakonkan teater bertajuk Rimbaku, Airmataku. – MalaysiaGazette