Pengerusi Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (MAYDA), Sazarul Zakry Datuk Seri Zainal Abidin bercakap ketika sidang media di Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

TANJONG KARANG – Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (Mayda) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) itu ditaja parti politik tertentu bagi tujuan kepentingan mana-mana pihak.

Presidennya, Sazarul Zakry Zainal Abidin berkata, sebaliknya NGO itu menyokong kepimpinan kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mayda menafikan sebarang dakwaan mahupun khabar angin bahawa Mayda ditaja oleh mana-mana parti politik bagi tujuan peribadi individu mahupun parti.

“Mayda tidak akan mencampurkan adukkan sebarang perjuangan politik peribadi demi menghormati pendirian atau meraikan perbezaan dalam kalangan ahli dan masyarakat.

“Mayda sentiasa dan terus menyokong segala usaha-usaha kerajaan yang ada pada hari ini iaitu Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mayda dikaitkan dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan ditaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Dalam pada itu, Sazarul berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha menjadi pelengkap dan penghubung kepada masyarakat mahu pun keperluan kerajaan.

“Mayda akan sentiasa mendukung segala usaha-usaha baik yang memberi manfaat kepada masyarakat dan pejuang persatuan di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, Mayda ditubuhkan pada Ogos 2023 berfokus kepada industri keusahawanan, pertanian, penternakan dan juga pelancongan kepada golongan yang memerlukan dapat membantu mereka untuk membina kekuatan ekonomi yang lebih baik pada masa hadapan.

Mayda juga menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berasaskan pendidikan, kebudayaan, sosial, akhlak, kebajikan dan moral untuk penduduk setempat, di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum, agama dan bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast