KUALA LUMPUR – Universiti-universiti awam tempatan digesa supaya membayar elaun bulanan kepada semua Sasterawan Negara yang dinobatkan sebagai tamu di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah itu penting sebagai tanda pengiktirafan kepada sasterawan selain bangga dengan hasil karya mereka.
“Ya, saya gembira apabila sasterawan-sasterawan negara kita dinobatkan dan diambil sebagai sasterawan tamu tetapi sekadar ambil dan nobat karya mereka sahaja tak cukup. Kita perlu juga menjaga kebajikan mereka.
“Saya akan menyeru mereka (universiti-universiti awam) supaya memberi elaun bulanan kepada sasterawan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Wisma DBP, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Maszlee berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian kewangan bagi mendapatkan insentif yang akan diberikan kepada golongan saterawan.
Katanya, beliau akan memperjuangkan hak golongan sasterawan sebagai kerana langkah sama dilakukan di negara luar.
“Kalau di negara lain mereka begitu menjulang sasterawan mereka. Kenapa tidak di negara kita?
“Insya Allah bagi sasterawan negara yang amat saya hormati, mendiami lubuk yang paling dalam di jiwa saya.
“Saya akan aturkan pertemuan dan perjuangkan hak anda semua. Saya akan perjuangkan hak sastera selagi mana saya ada,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapannya Maszlee mengumumkan langkah-langkah tersebut dan pengumumannya itu mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad said. – MalaysiaGazette