Datuk Lokman Noor Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sedia menjalani ujian poligraf bagi membuktikan beliau terlibat atau sebaliknya berhubung penghasilan video lucah di luar tabii melibatkan dua pemimpin PKR.

Menurut Lokman, cadangan itu juga boleh membuktikan bahawa beliau hanyalah salah seorang penerima video seks lucah berkenaan yang disebarkan dalam grup Whatsapp bernama Jemputan Raya Azmin sejak 11 Jun lalu.

“Saya terbaca di dalam Malaysia Gazette yang meminta saya mengambil ujian poligraf bagi mengetahui saya terlibat dalam menghasilkan video lucah di luar tabii dua individu yang disyaki sebagai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Saya melihat cadangan Malaysia Gazette ini sangat baik dan saya ingin menyatakan kesediaan saya menjalani ujian poligraf ini.

“Ia dapat membuktikan bahawa saya hanyalah salah seorang penerima video tersebut melalui sebuah grup Whatsapp bernama ‘Jemputan Raya Azmin’ pada jam 1.19 pagi, 11 Jun 2019.

“Cadangan Malaysia Gazette ini juga sangat baik untuk Haziq dan Azmin,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Lokman yang juga Pengerusi Pertubuhan Pemantau Malaysia Baru ditahan oleh sekumpulan anggota polis dari Bukit Aman di rumahnya di Taman Teknologi, Kajang, kira-kira 14 Jun lalu.

Lokman ditahan beberapa jam selepas memberi keterangan berhubung klip video seks songsang membabitkan seorang lelaki didakwa mirip seorang menteri.

Sebelum ini, Haziq mengaku sebagai individu bersama seorang mirip menteri Kabinet dalam video seks luar tabii yang tersebar di laman sosial Whatsapp, sejak 11 Jun lalu.

Beberapa gambar dan video intim mirip Mohamed Azmin Ali bersama seorang lelaki iaitu Haziq disebarkan melalui satu grup WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.

Lokman turut mengulangi penafiannya bahawa beliau tidak terlibat untuk memerangkap Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sama ada memasang kamera mahupun mengetahui sebarang usaha untuk menghasilkan video tersebut.

“Tidak perlu lagi rakyat menunggu lama untuk mengetahui sama ada Haziq berkata benar bahawa individu dalam video tersebut adalah Haziq dan Azmin atau tidak.

“Tidak perlu Azmin bazir masa menyaman Haziq, memadai dengan kedua-dua mereka melakukan ujian poligraf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast