KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu belum menerima apa-apa surat tunjuk sebab daripada Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Ujar beliau, isu Haziq akan dibincangkan pada Mesyuarat Biro Politik jam 2 petang esok di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
“Belum (terima surat tunjuk sebab Haziq) lagi, tapi esok kita ada mesyuarat Biro Politik (Ahad), mungkin kita akan bincang mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas dakwaan PKR tidak bertindak tegas terhadap Haziq Abdullah, Fahmi berkata parti tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa berhubung penyebaran empat klip video lucah itu yang dikaitkan dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali.
“Kita beri ruang kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan bila ada hasil siasatan dari pihak berkuasa,” katanya.
Haziq yang juga bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, diberikan surat tunjuk sebab kerana disifatkan telah mencemarkan nama parti.
Surat itu diberikan pada 19 Jun lalu menerusi Lembaga Disiplin PKR dalam Mesyuarat Biro Politik, Rabu lalu.
Haziq diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.
Pada 12 Jun lalu Haziq tampil mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video seks yang tular.
Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam aksi intim itu adalah Azmin.
Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. -MalaysiaGazette