KUALA LUMPUR – MIDF Research menjangka Indeks Harga Pengeluar (IHPR) akan berkembang ke deflasi tahun ini kepada -1.5 peratus berbanding -1.1 peratus pada 2018.
Ini disumbangkan terutamanya oleh harga minyak domestik yang dijangka turun walaupun had harga RON95 telah diubah, sejajar dengan penyusutan harga minyak mentah global.
“Memandangkan bahan api diperlukan, sekurang-kurangnya untuk menghantar barang-barang dari satu tempat ke satu tempat selain perniagaan yang menggunakannya sebagai input utama, kami percaya harga bahan api yang rendah akan menjadikan pengeluaran lebih murah, mengurangkan tekanan inflasi bagi IHPR secara keseluruhan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini.
IHPR pengeluaran tempatan pada Mei 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini merosot 1.5 peratus berbanding pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
“Sektor pembuatan masih menyumbang bahagian terbesar pada 81.6 peratus dalam menentukan inflasi pengeluar. Kami menjangka IHPR akan kekal rendah berikutan harga runcit minyak RON95 dan diesel dihadkan pada tahap rendah berbanding harga purata pada 2018,” kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan inflasi pelanggan akan kekal rendah.
“Berikutan petunjuk utama perubahan harga di peringkat pelanggan bagi tiga hingga enam bulan, angka IHPR terbaharu mencadangkan inflasi teras untuk kekal rendah bagi separuh pertama 2019,” katanya.
MIDF Research berkata, di peringkat global, IHPR akan kekal rendah ketika harga minyak mentah dijangka menyusut pada tahun ini berbanding 2018.
Menurutnya, pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah menjejaskan sentimen perniagaan menyebabkan kebanyakan syarikat kurang berminat mewujudkan pelaburan baharu dan berusaha mengurangkan kos sedia ada akibat permintaan yang tidak menentu pada masa depan, manakala harga minyak akan terus berdepan tekanan menurun sekiranya AS dan China gagal mencapai persetujuan. – MalaysiaGazette