Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa tiada pesakit bagi kes pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun pencemaran udara itu menjejaskan 235 orang, namun setakat ini tiada kematian dilaporkan.

“Tiada kes yang dimasukkan ke ICU dan tiada kematian dilaporkan sehingga kini

“Keputusan sample klinikal bagi ujian
urine cyanide, blood cyanide dan VOC, semuanya menunjukkan negatif,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Dzulkefly juga berkata, pasukan sokongan mental dan psiko sosial dari Hospital Sultan Ismail dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bharu juga telah melakukan saringan mental bagi kes-kes yang dirawat di wad rawatan.

“Secara kumulatif sejumlah 235 individu yang terdiri daripada 6 anggota kesihatan terlibat dan 222 orang awam termasuk kanak-kanak telah menerima khidmat bantuan awal psiko sosial.

“Seramai 222 orang telah menjalani sesi PFA secara individu dan seramai 13 orang telah menjalani sesi PFA secara kelompok.

“Daripada 235 jumlah orang yang diberi bantuan awal psiko sosial itu, mereka dirawat di ground command centre pada awalnya, namun sejak 3 hari lalu, GCC telah ditutup,” katanya.

Beliau turut berkata, hanya 10 pesakit terdiri daripada pelajar kini dirawat di wad Hospital Sultan Ismail dan mereka ini terdiri daripada layan sekolah yang berbeza.

“Saringan mental ke atas 10 pesakit tersebut di mana 6 daripada 8 pesakit berumur antara 7-10 tahun mengalami keresahan dan 3 daripada mereka ini terlibat dalam kes sungai Kim Kim dahulu.

“Saya tegaskan dalam kalangan 6 pesakit tersebut, seorang pelajar mempunyai ko-mobiliti bronchitis asthma.

“Keemua 6 pelajar ini akan diberi rawatan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mencari punca sebenar keresahan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette