KUALA LUMPUR – Sudah menjadi satu kebiasaan bagi penganjur konsert di negara ini untuk membawa masuk artis luar negara bagi membuat persembahan sejak sekian lama.
Rata-rata yang di bawa masuk juga bukan calang-calang orang, antaranya lagenda dalam dunia hiburan.
Namun pada masa yang sama, ada juga yang lupa bahawa seni hiburan tempatan khususnya industri hiburan Tamil kini sudah berkembang pesat dan mempunyai artis-artis yang dikenali di peringkat antarabangsa.
Kini impian untuk melihat artis tempat diraikan sama tarafnya dengan artis luar negara akhirnya tercapai bagi Kanaga Seelan Tarmalinggam atau lebih mesra dengan panggilan Kapten Seelan.
Minat mendalam dalam dunia hiburan menyebabkan beliau meninggalkan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)bagi merealisasikan impiannya.
Malah sejak lebih dua dekad ini, Kapten Seelan begitu aktif dalam menganjurkan persembahan, konsert kecil dan besar-besaran termasuk dirinya sendiri.
Terbaru, Kapten Seelan melakukan kejutan apabila menganjurkan konsert ‘Isayin Oli’ (irama muzik) Live in KL 2019 pada 30 Jun dalam skala besar.
Apa yang menarik, ia hanya menjempur artis tempatan dan sebahagian daripada keuntungan konsert itu akan disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Thamboosamy Pillai Sentul.
Jelas Kapten Seelan, beliau mahu memberi peluang kepada bakat sedia ada dalam bagi membuktikan mereka setaraf dengan artis luar negara.
“Isayin Oli bukan sahaja sekadar konsert jika itu yang ada dalam fikiran anda, ini juga bukanlah satu platform untuk mengaut keuntungan, sebaliknya bukan sahaja artis kita akan di bayar dengan bayaran yang sepatutnya malah ada juga sedikit akan di sumbangkan kepada pelajar kita.
“Konsert ‘live’ bukanlah sesuatu yang mudah dan sebenarnya dianggap sangat mahal dan kerana itu selalunya pentas itu seringkali digunakan oleh penganjur bagi memastikan artis luar yang mendapat permintaan tinggi untuk hadir membuat persembahan.
“Saya pula mahu cuba untuk mengetengahkan artis-artis tempatan kita, saya mahu yakinkan para peminat muzik untuk juga menyokong inisiatif sebegini yang pada hakikatnya akan memberi banyak peluang kepada golongan seperti kami meluaskan lagi bakat sedia ada.
“Janganlah selalu minta kami untuk lakukan persembahan dengan harga paling rendah mahupun secara percuma walhal yang datang dari luar negara pula di bayar dengan puluhan ribu. Tidak sepatutnya artis kita di layan seumpama itu hakikatnya kita juga bukan murah, janganlah hina kami begitu.
“Kerana itu, saya anjur konsert ‘live’ Isayin Oli 2019 di Kuala Lumpur, seandainya berjaya kita akan luaskan ke negeri-negeri lain dengan artis-artis lain pula, semoga konsert sulung ini mendapat sokongan dari semua pihak esok,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Isayin Oli Live in KL 2019 akan diadakan di Auditorium Tan Sri KR Soma jam 7.15 malam dengan penglibatan artis tempatan Tamil.
Selain Kapten Seelan, koerte itu turut disertai kumpulan The Banditz Malaysia, Linggesks, Marial Thomas dan Prieya Vathani dengan konsep medley lagu-lagu popular 80 dan 90-an khasnya pemuzik terkenal Ilayaraaja dan AR Rahman. – MalaysiaGazette