Profesor Xiao’ou Tang

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad dituntut menjelaskan mengenai pelantikan Profesor Xiao’ou Tang sebagai ahli lembaga pengarahnya.

Tang adalah pengasas SenseTime – sebuah syarikat kecerdasan buatan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat lawatan ke pejabat SenseTime dan menyaksikan perjanjian ditandatangani antara Pengerusi G3 Wan Khalik Wan Muhammad, Presiden SenseTime Asia Pasifik Jeff Shi dan Pengerusi China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) Lin Yi Chong pada 27 April lalu.

Perjanjian ini untuk membina pusat kecerdasan buatan serantau.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, pelantikan Tang sebagai lembaga pengarah Khazanah mengejutkan dan mempersoalkan apakah rasionalnya melantik warga China itu.

“Persoalannya, apakah rasionalnya melantik warga negara China ini sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah yang menguruskan dana kekayaan berdaulat negara kita? Persoalannya, adakah lantikan ini sebahagian daripada perjanjian lawatan Perdana Menteri?

“Dewan Pemuda Ikatan tidak mahu melihat Khazanah seperti lembu dicucuk hidung apabila berdepan dengan kuasa besar seperti China. Kita tidak mahu melihat rakyat China mengatur perjalanan Khazanah dengan lantikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahir menambah, pada 27 April juga media melaporkan dua Ahli Lembaga Pengarah Petronas iaitu bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan bekas Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz telah digugurkan dan melantik Ahmad Faris Rabidin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 4 November 2018, menjadi ahli lembaga pengarah syarikat minyak berkuatkuasa pada 1 Julai 2019.

“Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengkhabarkan seorang penulis blog “Pure Shiite” iaitu blogger bernama SatD a.k.a Mat Dong yang menjadi penulis blog tegar isu 1MDB kini dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Ikatan mahu Petronas membuat kenyataan berhubung perkara ini untuk menjernihkan keadaan.

Ironiknya, Ahmad Faris juga merupakan ahli jawatankuasa penyiasat 1MDB di bawah Majlis Penasihat Kerajaan.

“Kita menyeru agar Petronas diberikan ruang sebagai syarikat yang bebas daripada tekanan politik. Jangan jadikan Petronas seperti lembu yang dicucuk hidung!,” ujarnya. – MalaysiaGazette