Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka akan melaksanakan sesi pertanyaan Perdana Menteri pada sidang Parlimen akan datang.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, waktu pertanyaan itu akan dilaksanakan apabila tiba masa yang sesuai.

“Waktu pertanyaan Perdana Menteri saya percaya dalam masa sesuai ia akan dilaksanakan juga.Kita tunggu untuk masa yang tepat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta wartawan mengenai janji beliau melaksanakan perkara itu pada Mei lalu.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, sebenarnya reformasi Parlimen merupakan proses berterusan dengan langkah pertama membawa usul mewajibkan setiap ahli parlimen mengisytiharkan harta sudah dilaksanakan semalam.

Ditanya bila agaknya tempoh masa pelaksanaan waktu pertanyaan khas itu boleh dilihat rakyat, pemimpin DAP itu menaruh harapan melihat sesi itu pada tahun ini juga.

“Saya percaya memang PM cukup hebat dan boleh jawab dengan penuh yakin. Saya rasa kalau boleh pada tahun ini (waktu pertanyaan PM) atau paling lewat sesi akan datang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette