Azhar Azizan Harun. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Usul di Dewan Rakyat tidak melibatkan cadangan pendaftaran pengundi secara automatik.

Sebaliknya usul yang dibentangkan di Parlimen hari ini adalah berhubung Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat penjelasan mengenai kekeliruan media berkenaan pindaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil maklum bahawa terdapatnya laporan media yang tidak tepat dan mengelirukan berkaitan isu ini.

“Laporan media yang mengelirukan itu adalah mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan pendaftaran pengundi secara automatik dapat dilaksanakan bersekali dengan pindaan kepada had penurunan umur tanpa perlu lagi mendapat kelulusan Parlimen.

“Usul hari ini hanya pindaan 119(1) (a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sahaja dan bukannya mengenai daftar pengundi automatik,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan usul pindaan kepada Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tersebut yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini, hanya boleh dilakukan setelah pindaan dibuat kepada Borang A di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Borang 10 di bawah Peraturan 19(10) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Jelasnya, untuk tujuan tersebut, salinan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 perlu dibuat edaran di dalam sesi persidangan Dewan Rakyat untuk perhatian serta makluman Ahli Parlimen.

“Manakala apa-apa usul mengenai pendaftaran pengundi secara automatik pula akan melibatkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini adalah berbeza dari usul pindaan mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast