Foto Instagram Umie Aida.

KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Seri Umie Aida berkongsi berita gembira apabali dia mengambil seorang bayi perempuan comel sebagai anak angkatnya.

Menerusi laman Instagramnya semalam, bintang filem Dukun itu telah berkongsi foto pertama bayi tersebut difahamkan baru berusia 12 hari.

“Penawar hatiku.. anugerah dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Alhamdulilah.. ku terima amanah ini dan akan menjaganya sebaik mungkin. Insya’allah,” tulis Umie yang belum memilih nama untuk anak angkatnya itu.

Sebelum ini, Umie sudah memiliki dua anak angkat lelaki iaitu Mohd. Daniel Firdaus, 26, dan Mohd. Dzulhelmy, 25, yang dipeliharanya sejak kedua-duanya masih kecil.

Umie mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Mac 2010 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, menerusi laporan sebuah akhbar, Umie mengakui pada awalnya tidak mempunyai perancangan untuk mengambil anak angkat, namun menyifatkan ia sebagai rezeki apabila bayi tersebut belum mendapat keluarga angkat lain.

“Pada awalnya saya ‘forward’ mesej kepada semua rakan dan bertanya jika mereka inginkan anak angkat ketika bayi itu baru dilahirkan 12 hari lalu. Memandangkan tidak ada maklum balas, saya buat tak tahu saja. Saya berfikir mungkin mereka akan menghubungi ibu bayi ini sendiri.

“Namun, pada sebelah tengah hari saya tergerak hati bertanya semula kepada ibu bayi. Apabila diberitahu tidak ada siapa yang memberi maklum balas, saya terus berkata saya nak,” katanya penuh teruja.

Biarpun ketika ini sibuk dengan penggambaran siri terbaharu drama Mak Cun, Umie tidak mahu meningggalkan anak angkatnya itu di bawah jagaan orang lain dan turut membawanya ke lokasi agar dia dapat sentiasa bersama bayinya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast