KUALA LUMPUR – Tindakan Abdul Muein Abadi untuk tidak lagi menulis perkara berkaitan politik negara membuktikan beliau menerima tekanan politik yang kuat dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan itu jelas menunjukkan negara ini sedang mengalami episod malang dan hitam dalam sejarah kebebasan akademik.
“Semua ini gara-gara penulisannya yang mendedahkan fakta dan data berkenaan tindakan kerajaan PH menjual aset negara yang kini keseluruhannya berjumlah RM20 billion dalam masa 400 hari.
“Penulisan Abdul Muein membentangkan hujahan dan data yang menyimpulkan sikap kerajaan PH mengambil jalan mudah dalam mengurangkan tanggungjawab dan saiz kerajaan melalui amalan ekonomi neoliberal,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Baru-baru ini, Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menuduh pensyarah UKM itu telah menulis artikel memfitnah kerajaan PH berkaitan penjualan aset negara.
Menurut Ir. Khairil Nizam, kerajaan PH yang tidak mengambil kira kepentingan strategik negara jangka panjang menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli politik kerajaan sehingga tekanan diberikan kepadanya.
Pada masa sama, katanya, tiada siapa di kalangan ahli politik kerajaan mampu menyanggah apa yang Abdul Muein utarakan.
“Secara tidak langsung ini membuktikan apa yang beliau utarakan adalah sesuatu yang benar.
“Ketika negara memerlukan bijak pandai dalam pelbagai disiplin ilmu bagi membawa Malaysia ke arah kecemerlangan pendidikan dan membangun negara bertunjangkan ilmu dan nilai, ancaman politik seperti berlaku kepada Abdul Muein merupakan agenda pembunuhan kebebasan akademik yang juga membunuh suara bijak pandai di kalangan rakyat,” katanya.
Beliau menyatakan DPPM kesal dan sedih apa yang berlaku kepada Abdul Muein dan menyifatkan peristiwa itu tidak sepatutnya berlaku pada era Malaysia baharu.
Lebih-lebih lagi, katanya, apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberi komitmen untuk menggubal akta baru bagi memberi kebebasan akademik dan autonomi lebih luas kepada universiti.
Justeru, beliau mengajak rakyat menolak budaya mengugut khususnya para ilmuan yang jujur dengan ilmu mereka.
Katanya, wacana dan perdebatan sihat berlandaskan fakta dan disiplin ilmu perlu dibudayakan di kalangan masyarakat agar tahap pemikiran rakyat dapat diangkat untuk menyumbang dalam pembinaan negara dan tamadun.
“Wacana sihat berlandaskan ilmu dan fakta serta dipandu prinsip yang jelas menjadi salah satu tunjang dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan Pas.
“Kepada kerajaan PH, didiklah masyarakat untuk menganalisa fakta berlandaskan disiplin ilmu daripada mendidik masyarakat menyebar fitnah dan membina persepsi hanyir,” katanya. – MalaysiaGazette