KUALA LUMPUR – Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen akan membawa cadangan pindaan pada Akta Keselamatan Negara (MKN) untuk dibentangkan dalam jemaah Menteri.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dikemukakan sebelum bermulanya sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Kita akan membincangkan beberapa perkara berbangkit mengenai isu Akta Keselamatan Negara melibatkan semua ahli-ahli parlimen dan masyarakat umum sebelum dimuktamadkan dan dibawa ke jemaah Menteri sebelum sesi (Parlimen) akan datang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kaukus hari ini.
Menurut Anwar, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kabinet telah menyatakan persetujuan untuk mengembalikan kuasa mengisytiharkan darurat ke tangan Yang Di Pertuan Agong.
Namun, jelas beliau, ada pandangan yang mahu untuk menolak sama sekali peruntukan akta keselamatan dalam negeri.
“Tetapi kita juga merasakan perlu untuk mengingatkan masyarakat iaitu yang pertama kuasa kepada satu badan sekarang ini adalah untuk menjaga memelihara kawasan keselamatan.
“Misalnya, bagaimana nak menangani masalah pencerobohan di sempadan sama ada oleh tentera asing yang kini berlaku sama ada secara sengaja atau tidak ataupun pencerobohan daripada segi kemasukan orang asing atau gerombolan yang bersenjata.
“Ini memerlukan kuasa khas dengan kuasa-kuasa darurat tertentu dalam kawasan yang cukup terbatas,” ujarnya lagi.
Yang kedua, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, MKN juga bertanggungjawab menangani masalah bencana alam yang besar sepertimana banjir besar di Manik Urai, Kelantan yang memerlukan penglibatan polis, bomba dan tentera.
“Jika melibatkan tentera, mana-mana situasi ia memerlukan bidang kuasa tertentu dan ini yang akan dibincangkan sebelum dibawa ke meja jemaah menteri,” tegasnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada 9 April lalu telah membentangkan pindaan pada akta melibatkan MKN di Parlimen untuk bacaan kali pertama.
Ia antaranya memberi kuasa kepada YDPA untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai kawasan keselamatan.
Namun, rang undang undang berkenaan yang sepatutnya dilibatkan untuk bacaan kali kedua pada sesi dahulu ditangguhkan ke sesi Julai yang sedang berlangsung sejak 1 Julai lalu.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR itu berkata, semua ahli Jawatankuasa pemilihan Khas akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada minggu depan.
Iia bertujuan untuk membantu mereka menangani kesukaran yang mengundang pegawai-pegawai kanan memberi taklimat dan sebagainya.
“Langkah pertama kami ialah kaukus akan bertemu semua pengerusi di Parlimen dan akan bincang segala masalah berbangkit sebelum mengajukan ia untuk perhatian dan tindakan Speaker Dewan Rakyat supaya segala kesulitan ditangani,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette