Pengasas Produk Kecantikan, Nur Sarjat hadir pada Majlis Rumah Terbuka dan Ulang Tahun ke-4 Malaysia Gazette di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Usahawan kecantikan, Nur Sajat Kamaruzzaman menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap bekas pekerjanya, Nurwati Hussin yang ditangkap semalam kerana didakwa terlibat menyeleweng wang tunai syarikat.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Nur Sajat berkata, dengan tertangkapnya wanita yang pernah diberi kepercayaan di dalam syarikat sebelum ini, beliau berharap dapat membersihkan namanya yang terjejas gara-gara tuduhan dihadapi.

Beliau mendakwa, bekas pekerjanya itu terlibat menyeleweng wang syarikatnya berjumlah RM1.3 juta yang dialakukan sejak 2017 setahun selepas dia diambil bekerja.

“Selama ini dia yang jaga stokis, jadi semua duit agen-agen ni masuk dalam akaun dia.

“Dia memang orang kepercayaam saya dan dia juga merupakan sepupu saya,” katanya.

Menurut Sajat lagi, Nurwati sebelum ini telah kalah sebanyak tiga kali dalam kes mahkamah namun, dia tetap juga memfailkan kes baru dengan membuat rayuan bagi mencari kesalahan terhadap dirinya pula.

“Sepatutnya saya yang buat rayuan tapi peliknya dia sebagai palintif pula yang buat rayuan kepada pihak mahkamah berhubung kes yang dihadapinya itu,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Sajat menerima saman menerusi syarikatnya Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd (Nur Sajat Aesthetic) yang difailkan oleh dua individu iaitu bekas stokis, Mohamed Syakir Hussin dan Nurwati.

Sajat menerusi syarikatnya telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap Syakir dan Nurwati atas kerugian dan kehilangan yang dialami akibat salah laku oleh mereka.

Malah, pada 5 Oktober tahun lepas, hakim mahkamah sesyen Shah Alam menolak permohonan Syakir dan Nurwati untuk membatalkan tuntutan balas Nur Sajat Aesthetic dengan kos RM3,000 yang dibayar mereka kepada syarikat Nur Sajat.

WhatsApp Image 2019-07-09 at 12.37.33 PM- EditPada tarikh sama, hakim itu membenarkan permohonan Nur Sajat Aesthetic untuk penzahiran dokumen-dokumen dengan Syakir, Nurwati dan OWA Resources diarahkan untuk membekalkan penyata-penyata bank.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubung mengesahkan penahanan tersebut dengan memberitahu tangkapan dilakukan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut jurucakap tersebut, tangkapan dilakukan di sebuah rumah di Shah Alam dan suspek dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk mendapatkan reman.

“Buat masa ini kita tahan dia dulu untuk soal siasat. Kita dapatkan reman dari mahkamah dan maklumat lanjut mengenai kes ini akan diberitahu nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast