Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu dijadikan persiapan masa depan negara jika Malaysia dan rakyatnya mahu kekal maju serta kompetitif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan TVET dilihat amat penting bagi mendedahkan mereka kepada situasi kerja sebenar.

“TVET akan menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha Kerajaan melahirkan tenaga mahir  tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.

“Ini secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing.

“Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja  tempatan” katanya dalam ucapan sesi dialog Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Eksekutif Industri sempena Persidangan TVET, hari ini.

Tambah Dr Mahathir, perlaksaan TVET secara langsung akan mengubah pasaran buruh negara yang menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji lebih tinggi dapat diwujudkan.

“Pemain-pemain utama institusi TVET awam dan swasta Negara harus keluar daripada zon selesa masing-masing dan mencari penyelesaian yang berkesan.

“Salah satu pendekatan pastinya kerjasama merentasi pelbagai pihak yang berkepentingan terutamanya dengan pihak industri,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, hampir 90 peratus daripada graduan TVET berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat latihan dengan adanya program seumpama ini.

Justeru itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyeru agar lebih ramai pemain industri utama bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong dasar pelaksanaan TVET negara.

“Kita tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang. Kita perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kepesatan teknologi semasa.

“Dan pembangunan industri di Malaysia tidak boleh lari dari perkembangan global khususnya Revolusi Industri 4.0 di mana proses kerja dan kaedah perniagaan yang lebih pintar dipacu oleh people, proses dan teknologi kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai,” katanya lagi.

Ia dirancakkan lagi dengan langkah konkrit kerajaan dalam mengatur strategi bagi menghadapi Industri 4.0 dengan merangka Dasar Negara mengenai Industri 4.0 dari 2018 – 2025 yang dikenali sebagai Industry Forward (Industry4WRD).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan Industry4WRD. -MalaysiaGazette