KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya dengan Menteri Besar Selangor.
Dalam satu kenyataan, Juwairiya menegaskan laporan sudah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkenaan dakwaan yang disebarkan melalui laman Facebook “Aku Darah Anak Malaysia-ADAM” pada 9 Julai lepas.
Ia berkaitan dakwaan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang didakwa melakukan perkara di luar batasan bersama Juwairiya di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.
“Pihak kami akan memantau kes ini dengan sepenuhnya untuk menentukan langkah selanjutnya.
“Apa yang pasti adalah ia fitnah dan saya menegaskan bahawa saya tidak berada di lokasi itu pada tarikh yang didakwa itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan seorang ADUN wanita, dan pihaknya juga sudah berbincang dengan peguam.
Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di hotel berkenaan. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/10/amirudin-nafi-hubungan-dengan-adun-wanita/