IPOH – Ahli Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia kembali menjalankan tugas seperti biasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu tiba di pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini pada kira-kira 9.15 pagi.
Turut hadir di pejabatnya ialah Exco kerajaan negeri yang lain termasuk Dr Abdul Aziz Bari, Wong May Ing, Howard Lee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong A. Sivasubramaniam dan peguamnya Leong Cheok Keng.
Difahamkan jadual kerja ADUN Tronoh itu hari ini dipenuhi dengan mesyuarat di pejabatnya yang tertangguh sejak beberapa hari lepas.
“Kenapa tanya saya tidak boleh kerja Saya masih Exco. Sesiapapun boleh melontarkan tuduhan kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Lebih 20 pengamal media terdiri daripada wartawan dan jurukamera mula berkumpul di pejabat Choo Kiong seawal 8 pagi tadi.
Choo Kiong berkata sekiranya siasatan mengambil tempoh yang berlanjutan terlalu lama, beliau bersedia untuk direhatkan daripada tugas buat sementara waktu.
Katanya beliau percaya dengan kepakaran pihak polis untuk menyiasat tuduhan berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
“Dalam hal ini saya menafikan sekeras-kerasnya saya tidak pernah melakukan apa-apa dan tunggulah siasatan keluar sekiranya bersalah atau tidak bersalah. Masa akan membuktikan segala-galanya,” katanya.
Ditanya mengenai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco negeri Perak yang dijadual semalam ditangguhkan kerana siasatan kes berkenaan, Choo Kiong berkata ia bukan satu ketetapan kerana tempoh lantikan exco adalah sepenggal.
“Setahu saya sebenarnya tidak perlu mengangkat sumpah setiap tahun jika mengikut peraturan tetapi kerajaan negeri boleh melakukannya setiap tahun,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata Choo Kiong boleh dinasihatkan untuk bercuti atau dihadkan tugas sekiranya proses siasatan polis terhadapnya mengambil masa yang lama bagi memudahkan proses siasatan polis.
Selasa lalu, media melaporkan pembantu rumah berkenaan berusia 23 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, Perak, Isnin lalu dengan mendakwa dirinya dicabul dan dirogol oleh majikannya yang juga ahli Exco kerajaan Perak sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.
Mangsa berusia 23 tahun itu kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.– BERNAMA