KUALA LUMPUR – Selepas muncul dengan single berjudul Raja pada tahun lalu, penyanyi Stacy kembali dengan karya terbarunya, Khayal.
Lagu bergenre pop EDM ini merupakan hasil ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Ziin.
Stacy, 29 berkata, lagu itu tetap membawakan kelainan dari sudut susunan muzik yang disuntik elemen trap music dan alunan melodi EDM synth bagi memberikan bunyi unik kepada lagu.
Jelas pemilik nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam, buah tangan terbaharu itu menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti
“Malah persembahan vokal saya lebih memberikan penekanan kepada feel feminin dan beremosi,” katanya yang pernah mendapat julukan Ratu Tari Malaysia.
Lirik Khayal merupakan hasil tulisan Stacy sendiri yang berkarya di bawah nama pena Bunga Cantik.
Lirik yang mengambil inspirasi daripada kisah diri Stacy sendiri yang gemar berkhayal dengan kisah fantasi di kala waktu dirinya sukar melelapkan mata pada waktu malam.
“Lagu ini sebenarnya saya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah.,” katanya.
Stacy gemar berkhayal dengan kisah fantasi di kala waktu dirinya sukar melelapkan mata pada waktu malam
“Saya rasa semua orang pun pernah mengalami perkara yang sama, semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi di benak fikiran masing-masing sebagai ‘escapism’ untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan,” jelas isteri penyanyi Akim Ahmad itu.
Buah tangan terbaru Stacy ini dilancarkan sepenuhnya di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezerdan juga iTunes bermula hari ini. – MalaysiaGazette