KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah mengarahkan pegawainya ke sebuah kampung di Ulu Tembeling, Jerantut dekat sini, bagi menyiasat dakwaan kejadian ritual ‘zikir berdiri’ yang tular di laman sosial.

Timbalan Pengarahnya Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata pihaknya akan bersemuka dengan imam dan makmum surau kampung itu untuk mendapatkan penjelasan aktiviti yang dikatakan berlaku pada 11 Julai lalu.

“Kami perlu melakukan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan seterusnya kerana masih terlalu awal untuk mengaitkan perbuatan itu dengan ajaran sesat. Video yang tular di laman sosial juga terlalu pendek untuk kita terus membuat penilaian dengan hanya melihat daripada rakaman itu semata-mata,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ghazali juga mengesahkan pihak JAIP tidak menerima laporan berhubung kegiatan itu, namun siasatan akan tetap dilakukan.

Katanya, daripada maklumat awal difahamkan lelaki dikenali sebagai Tok Ki@ Tok Ayah yang mengetuai ‘zikir berdiri’ itu terlibat dalam rawatan Islam dan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses perubatan.

Pada Sabtu lepas, tiga rakaman video berdurasi antara 15 saat dan seminit 12 saat tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan jemaah lelaki dan wanita melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak jelas sebutannya.- BERNAMA

VIDEO BERKAITAN: