KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,698 daripada 10,185 buah sekolah tidak pernah mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) penggunaan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) pada tahun lalu.

Laporan Jabatan Audit Negara Siri 1 Tahun 2018 mendapati, pembayaran berjumlah RM1.69 juta bagi perkhidmatan Frog VLE telah dibuat untuk 35 daripada 10,185 sekolah sedangkan 35 sekolah tersebut tidak pernah menggunakan Frog VLE bagi tempoh bulan Julai 2016 hingga November 2018.

Malah, laporan itu mendapati peratusan guru yang telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store bagi tahun 2018 adalah rendah, iaitu hanya 3,317 (0.8%) daripada 423,566 guru.

Manakala sasaran pengaktifan ID VLE oleh ibu bapa di bawah program Pengurusan Perubahan terhadap 8,094 (95.0%) daripada 8,551 sekolah yang dilawati juga tidak tercapai.

Malah, cadangan Makmal Pengurusan Nilai berkaitan pelaksanaan VLE secara rintis di 400 sekolah tidak dipertimbangkan oleh KPM dan didapati kekurangan bahan pembelajaran dalam Frog VLE bagi skema mata pelajaran Kolej Vokasional.

VLE ialah aplikasi dalam talian yang menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian pembelajaran.

Kontrak bernilai RM663 juta telah ditandatangani pada 7 Mei 2012 untuk pelaksanaan 1BestariNet di 10,000 sekolah bagi tempoh 2 tahun 6 bulan mulai 13 Disember 2011 hingga 12 Jun 2014.

Dalam tempoh kuat kuasa kontrak, dua perjanjian tambahan ditandatangani melibatkan pertambahan kos berjumlah
RM2.09 juta.

Setelah tamat tempoh kontrak, sebanyak tujuh (7) perjanjian
tambahan berjumlah RM497.26 juta ditandatangani di antara KPM dengan kontraktor bagi tempoh 13 Jun 2014 hingga 30 Jun 2016.

Seterusnya KPM meneruskan perkhidmatan 1BestariNet kepada Fasa 2, setelah cadangannya diluluskan oleh Kementerian Kewangan dengan kos berjumlah RM1.55 bilion bagi
tempoh tiga (3) tahun bermula pada 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019. – MalaysiaGazette