KUALA LUMPUR – Cef selebriti Redzuawan Ismail atau Chef Wan terus terpalit dengan kontroversi apabila laman sosial restorannya pula ‘diserang’ dengan ulasan penilaian yang negatif.
Menerusi Instagram miliknya, Chef Wan mendakwa ulasan-ulasan negatif itu tiba-tiba memenuhi Facebook restoran milik beliau gara-gara kenyataannya selepas menerima anugerah Ikon Anak Felda dari Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
Laman media sosial restoran itu adalah bagi restoran De.Wan 1958 oleh Chef Wan yang terletak di The Linc KL di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Cybertrooper hati busuk memburukkan dan memfitnah restoran kami di Facebook dan Google.
“Mereka ingat semua rakyat Malaysia bodoh seperti mereka untuk telan bulat-bulat semua itu.
“Tak berkudis pun perniagaan kita. Mereka akan kalah. Menyalak macam anjing gila meroyan mahu saya pulangkan Anugerah Ikon Felda itu.
“Lagi dianiaya lagi murah rezeki yang Allah beri,” tulisnya yang memuat naik ulasan-ulasan berkenaan.
Semalam dalam dalam temu bual dengan New Straits Times, cef berusia 61 tahun itu mendakwa beberapa pihak telah memutar belit kenyataannya sebelum ini.
“Orang perlu membaca ayat saya dengan betul. Saya tidak mengatakan ‘semua’ peneroka Felda malas. Saya berkata ‘segelintir’, yang bermaksud ‘beberapa’,” katanya.
“Ada anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan dan menjadi penagih dadah tanpa pendidikan. Semua ini menyebabkan masalah sosial.
“Jangan putar belit belit isu hanya untuk mendapatkan undi dan sokongan politik,” katanya.
Selepas menerima Anugerah Ikon Felda, Chef Wan dalam kenyataan di Instagram, menggesa peneroka Felda bekerja keras kerana harga minyak sawit tidak menentu.
“Malaysia diberkati dengan tanah yang baik dan terdapat banyak tanah terbiar. Kerajaan harus menswastakan tanah ini untuk tanaman tunai.
“Saya telah pergi ke Australia, Norway dan Sweden untuk rancangan TV saya dan melihat bagaimana orang menanam tanaman tunai dan meningkatkan ternakan, menggunakan sepenuhnya tanah dan menyumbang kepada ekonomi.
“Di belakang rumah, banyak rakan peneroka Felda menjual subsidi baja yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan, dan apabila mereka menerima dividen, mereka berkahwin dua atau tiga kali dan ‘berkembang biak seperti kucing’.
“Saya melihat semua ini ketika saya dewasa (dalam penempatan Felda). Sikap buruk mereka telah diwariskan kepada cucu mereka, ” katanya dalam kiriman itu yang mendapat kritikan pelbagai pihak.
Chef Wan bagaimanapun sudah memadam kiriman berkenaan.
Namun gara-gara kriktikan itu, Cef Wan mahu menyaman Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hasan yang mendakwa dirinya tidak layak menerima anugerah Ikon Felda kerana kenyataannya sebelum ini tidak menjaga sensitiviti masyarakat peneroka. – MalaysiaGazette