KUALA LUMPUR – Pelakon Rozita Che Wan meminta semua pihak mendapat maklumat yang sahih berhubung dakwaan dia tidak membayar hutang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Sambil memohon orang ramai bersabar, Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 51, berkata, dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk tampil membela dirinya.
“Sila betulkan kenyataan anda atau tolong dapatkan berita yang sahih.
“Satu hari nanti saya akan buat kenyataan sebenar-benarnya!” tulisnya di Instastory di sini hari ini.
Pada hantaran tersebut, Che Ta turut memuat naik petikan berita yang mendakwa dia tidak pernah membayar pinjaman berkenaan sejak tahun 2017.
Sementara itul, lelongan barangan peribadi milik Che Ta yang sepatutnya berlangsung di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini ditunda ke satu tarikh baharu.
Penundaan itu dimaklumkan wakil peguam Mara yang enggan dikenali kepada pihak media.
“Tarikh lanjut akan ditetapkan pada masa akan datang dan bergantung atas arahan mahkamah,” katanya.
Laporan media semalam memaklumkan acara lelongan barangan itu membabitkan 34 barangan yang berjumlan RM 902,012.46.
Pada 10 Disember lalu, kediaman usahawan terbabit diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan kegagalannya melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan agensi berkenaan pada 2017, namun didakwa tidak pernah membayar pembiayaan berkenaan. – MalaysiaGazette
















