KUALA LUMPUR – Lebih 300 nelayan dari Pantai Timur meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap operasi bot laut dalam zon C dan C2 di Laut China Selatan.
Justeru satu demonstrasi aman dibuat di hadapan pintu masuk Parlimen hari ini bagi membantah bot pukat tunda berlesen tempatan yang diusahakan oleh nelayan asing di perairan negara.
Menurut wakil nelayan Kelantan, Nik Mohd Kamal Husin, demonstrasi itu semata-mata bagi meminta perhatian kerajaan dalam menyelesaikan kemelut yang membelenggu nelayan pantai timur.
“Kami datang sekadar meminta kerajaan mengambil berat atas luahan kami yang mana keadaan laut kami semakin terancam oleh nelayan asing dan nelayan asing berdaftar terutama khas ditujukan kepada nelayan Vietnam.
“Nelayan-nelayan Vietnam ini pekerjaannya terlampau teruk sehingga menjahanamkan semua ekosistem lautan kita dan mungkin akan merosakkan sistem akuakultur hingga anak cucu kita di depan hari mungkin tak dapat mencari rezeki lagi di lautan.
“Semenjak kerajaan beri permit untuk menggunakan kru Vietnam, boleh dikatakan zon pantai timur semakin teruk terancam oleh mereka,” katanya lagi.
Mereka berhimpun sambil memegang kain rentang rata-rata mahu campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam industri perikanan negara.
Kain rentang itu bertulis “Mohon SPRM siasat perikanan”, “Nelayan pantai timur- akibat Vietnam- kami menderita”, “Kami nelayan pantai timur merayu kepada kerajaan pusat kami hapuskalah lesen ali baba”.
Malah turut kedengaran laungan “Hapus, hapus hapus Ali Baba” dan “Hapus, hapus, hapus nelayan Vietnam” oleh seorang lelaki dengan menggunakan pembesar suara.
Dalam pada itu, satu memorandum turut dibawa bagi meluahkan rasa tidak puas hati berkenan.
Memorandum itu ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Memorandum itu turut memberitahu situasi itu menyebabkan pendapatan nelayan tradisi tempatan terjejas kerana kemasukan bot-bot laut dalam terpakai tersebut bertindak rakus beroperasi menangkap ikan sehingga kawasan tepi pantai. – MalaysiaGazette