KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini menafikan dakwaan teradpat 97 unit jentera bomba mengalami kerosakan besar dalam jangka waktu singkat dan kini tersadai.
Jentera bomba itu dibeli pada 2007,2010 dan 2014.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, satu Jawatankuasa Siasatan (JKS) telah ditubuhkan dan siasatan telah bermula pada 19 April hingga 30 Jun lalu.
Katanya, siasatan dijalankan dengan membuat lawatan ke Pusat Kejuruteraan Salak Tinggi, Kejuruteraan Jentera Negeri Selangor dan Kejuruteraan Jentera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan JKS mendapati bahawa pihak Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat perolehan FRT tersebut pada tahun 2007 sebanyak 42 jentera dan 100 jentera masing masing pada tahun 2011 dan 2012 dan usia jentera-jentera FRT tersebut telah mencapai antara 7 hingga 12 tahun.
“Dakwaan 97 unit FRT tersadai akibat kerosakan Power Take Off (PTO) adalah tidak tepat kerana hasil siasatan mendapati kerosakan pada jentera bukan hanya disebabkan kerosakan PTO semata-mata.
“Tetapi juga kerosakan lain berpunca daripada kekerapan penggunaan bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan dan tugas-tugas khas oleh balai bomba dan penyelamat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan berhubung laporan hasil siasatan Jawatankuasa Pengurusan Perolehan dan Penyelenggaraan 242 unit FRT.
Tambah beliau, sebagai contoh negeri Selangor sahaja menerima panggilan operasi sebanyak 17,161 panggilan setahun atau 536 operasi bagi setiap jentera FRT setahun atau 44 panggilan operasi sebulan.
Menurut Zuraida, dengan usia jentera FRT yang telah mencapai usia antara 7 hingga 12 tahun, purata kerosakan adalah sebanyak 10 kali bagi setiap jentera adalah sesuatu yang normal.
“Berikutan penggunaan yang tinggi maka ianya wajar ditukar kepada jentera baharu bagi melancarkan operasi pihak bomba,” ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Ampang itu juga menjelaskan, status terkini 97 unit jentera bomba FRT yang mana 60 unit dalam berkeadaan baik manakala 13 unit lagi masih dalam proses pembaikan.
“Manakala 10 unit jentera pula dalam proses sebutharga, 8 unit dalam tindakan penyaluran peruntukan, seunit dalam siasatan kemalangan, tiga unit sedang diperiksa dan akhirnya dua unit dalam proses pelupusan.
“Isu pembekal gagal menyediakan reka bentuk, peralatan dan pemasangan yang betul adalah tidak benar kerana pihak bomba telah memastikan semua proses penyediaan reka bentuk dan spesifikasi jentera dipatuhi,” katanya.
“Oleh demikian tidak timbul isu pemotongan peruntukan bagi tujuan penyelednggaraan oleh kementerian ini seperti mana dilaporkan akhbar,” katanya.
Tambah Zuraida, kementeriannya memandang serius laporan Harian Metro bertarikh 15 April lalu yang mana ia telah menjejaskan nama baik kementerian itu dan jabatan bomba secara khususnya sebagai sebuah jabatan yang penting dalam pencegahan pemadaman kebakaran dan khidmat kemanusiaan. _ MalaysiaGazette