Firman

KUALA LUMPUR – Selepas Aishah, penyanyi popular Indonesia, Firman Siagian pula mendakwa hadiah berlian yang diterima sewaktu menyertai Gegar Vaganza (GV) musim keempat lalu juga tidak tulen.

Justeru penyanyi yang terkenal dengan lagu Kehilangan tersebut akan menuntut haknya melalui proses undang-undang.

Firman memberitahu dia telah memaklumkan kepada penaja utama program itu, Datuk Seri Vida.

Namun sehingga ke hari ini kata Firman, dia tidak mendapat sebarang maklum balas daripada usahawan tersebut.

“Tempoh hari saya mengikuti kes tuntutan hadiah berlian yang didakwa juara GV , Aishah yang tidak tulen.

“Lantas saya pergi ke sebuah kedai emas di Bandung dan terkejut apabila hadiah berlian untuk saya juga tidak tulen,” kata Firman yang merupakan salah seorang finalis program tersebut.

Jelas Firman, pada awalnya dia mahu menyelesaikan masalah tersebut secara baik dengan Vida demi menghormati hubungan mereka dan jasa baik usahawan itu.

Namun tambahnya, jika tiada sebarang maklum balas daripada Vida, dia juga terpaksa menggunakan khidmat peguam.

Dalam GV yang lalu, Firman memenangi tempat kelima dan menerima hadiah wang tunai RM15,000 serta barang kemas tajaan Vida. – MalaysiaGazette