Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas hadir pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 20 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Satu kertas kerja mengenai elaun kritikal anggota bomba sebanyak RM200 sebulan melibatkan kesemua 14,139 anggota bomba seluruh negara akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dengan segera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya kertas kerja itu diserahkan kepada baginda secepat mungkin.

“Elaun belum lagi dimuktamadkan kerana ia masih lagi dalam pertimbangan di peringkat kerajaan.

“Namun Agong (Al-Sultan Abdullah) menitahkan satu kertas ringkas untuk dibentangkan kepada baginda. Baginda mungkin hendak memainkan peranan juga, sebab baginda mahu anggota bomba memainkan peranan sebagai pasukan dihadapan ketika menghadapi bencana,” katanya.

Terdahulu Zuraida hadir ke Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 yang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong yang  berangkat  bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Majlis dimeriahkan dengan perbarisan 35 kontinjen bomba dan penyelamat dari seluruh negara termasuk 79 aset terkini.

Acara yang diadakan di Dataran Merdeka itu dihadiri lebih 5,000 orang awam.

Zuraida juga meluahkan keyakinannya bahawa sokongan Al-Sultan Abdullah akan membolehkan kerajaan mempertimbangkan dan meluluskan segera elaun kritikal bomba itu.

Ditanya bila agaknya kertas kerja itu akan dipersembahkan kepada baginda, Zuraida berkata, ia akan dibuat pada minggu hadapan.

“Immediately..minggu depan,.,. saya tidak boleh tangguhkan lagi..umpama pucuk dicita ulam mendatang,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette