Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyangkal dakwaan aktivis Parti Amanah Negara (PAN) kononnya parti itu mempunyai kepimpinan dari kalangan orang baharu dan tidak mempunyai nama dalam politik.

Ketua penaja Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, dakwaan itu tidak benar, kerana Putra mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus tokoh berpengalaman politik.

Katanya, 50 peratus lagi adalah golongan profesional pelbagai bidang yang memiliki ijazah tulen, bukan dari hasil penipuan atau beli dari mana-mana universiti.

“Selain itu, keperibadian ahli dan kepimpinan Putra pula jauh lebih bermaruah, berintegriti dan bersih sebagaimana dituntut syariat Islam berbanding pemimpin PAN,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aktiviti PAN, Sulaiman Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak yang menyifatkan Putra berada dalam persimpangan yang amat sukar.

Beliau mendakwa, Putra yang diluluskan penubuhannya pada 9 Mei lalu berada dalam keadaan sukar sama ada ingin bersama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas atau bersendirian dengan menyalakan api perjuangan Melayu dan Islam.

Paling jelas dakwa Sulaiman, Putra kini ketandusan pemimpin baharu mahupun lama yang mampu membuat pergerakan politik kuasa ketiga.

Menurut Nasrul Ali Hasan, kenyataan aktivis itu sangat dangkal dan seolah buta apabila tidak dapat membandingkan perbezaan hala tuju parti Putra dengan PAN.

Kata beliau, Putra lahir atas ledakan kegawatan politik tanah air, bukan serpihan seperti tertubuhnya PAN yang kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam Pas.

“Putra tercetus dari jati diri pimpinan utama Perkasa iaitu sebuah NGO yang berjuang demi Islam, Melayu dan Raja.

“Apabila Islam, Melayu dan Raja dihina, di manakah PAN? Sedangkan Putra yang baru lahir terus lantang, tidak segan silu dan tegas mempertahankan kesucian Islam dan maruah bangsa.

“Ini sahaja sudah cukup jelas menampakkan hala tuju Putra berbanding hala tuju PAN yang hanya sekadar menjadi barua DAP,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, walaupun Putra parti baharu dalam arena politik, tetapi pucuk pimpinan adalah gandingan tokoh berpegalaman yang telah teruji keikhlasan dan ketegasan serta mantap ilmunya.

“Yang penting, kami tidak menjadi barua kepada musuh politik umat Melayu lslam.

“Bahkan, aktivis PAN ini juga terlebih dahulu patut mengingatkan kepimpinannya harus fokus hala tuju mereka, bukan memperlihatkan PAN menjadi barua DAP dan berselindung di sebalik perjuangan sosialis Islam.

“Satu ketika dahulu, Presiden PAN (Mohamad Sabu) memaki hamun DAP dan Lim Kit Siang, kini tanpa segan silu mengekor hingga mencium buntut DAP. Inilah hala tuju PAN, menjadi alat DAP untuk pijak kepala Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette